Apr 7, 2009

Satu Penghinaan Kepada Al-Quraan


SEBAGAI orang Islam dan beriman kita diperintahkan memuliakan Quran dengan menjunjung ajaran Quran dan meletakkan panduan dari Quran ditempat yang tinggi dalam segala aspek kehidupan kita.

Tetapi tuntutan yang utama ini selalu disalah faham oleh kebanyakan orang-orang kita termasuklah golongan yang mendakwa dirinya sebagai orang agama. Akhirnya apa yang biasa kita lihat dalam masyarakat kita, anak-anak diajarkan supaya menjunjung naskah Quran semasa berjalan menuju ke rumah guru-guru yang mengajar mereka mengaji Quran.

Manakala di dalam rumah pula naskah Quran akan diletakkan di tempat yang paling tinggi seperti di atas almari sehingga sukar untuk diambil.

Inilah salahnya pemahaman orang-orang kita. Sepatutnya ajaran Quran itu yang dijunjung dan diletak di tempat yang tinggi dalam kehidupan kita. Sebaliknya orang kita memuliakan Quran kita dengan mencium, menjunjung dan meletakkan naskahnya di tempat tinggi tetapi tidak segan silu memijak-mijak ajaran Quran itu sendiri.

Kita di suruh supaya membudayakan ajaran Quran. Siti Aisyah isteri Rasulullah pernah ditanya tentang akhlak Rasulullah, lalu Aisyah memberitahu akhlak Rasulullah itu adalah Quran. Bermakna seluruh tingkah laku dan perbuatan Rasulluh adalah cerminan Quran.

Tetapi kebanyakan orang kita membudayakan Quran dengan meletakkan atau menggantung ayat-ayat Quran di dinding rumah-rumah dan peremis perniagaan mereka sebagai hiasan. Ayat-ayat Quran yang sepatutnya dibudayakan dalam kehidupan akhirnya menjadi sebagai satu seni budaya sahaja, yang menghias dinding-dinding rumah. Inilah salah fahamnya orang-orang kita.

Kita diberitahu supaya selalu membaca Quran kerana setiap ayat yang kita baca akan diberi pahala oleh Allah. Sebenarnya tidak cukup dengan membaca sahaja, kerana kebanyakan dari kita tidak tahu bahasa Arab, kalau kita tidak faham bahasa Arab macam mana kita hendak mengamalkan dan melaksanakan ajaran yang terkandung di dalamnya. Tujuan Tuhan menyuruh kita membaca Quran ialah untuk melaksanakan ajarannya, bukan setakat baca saja.

Oleh itu kita kena baca juga terjemahan Quran supaya kita boleh faham apa yang diajarkan oleh Quran itu. Tetapi kerana tidak faham dengan suruhan membaca Quran itu, akhirnya orang-orang kita teruslah dari dahulu sampai sekarang membaca Quran seperti burung kakak tua.

Suruhan membaca Quran dapat pahala itu tidak salah, kerana suruhan itu adalah kepada orang Arab yang faham bahasa Arab. Mereka orang Arab, mereka baca dan mereka faham maknanya. Samalah macam mereka baca surat khabar Arab, sudah tentu mereka faham berita yang dilapurkan. Tapi kalau orang Melayu baca surat khabar Arab, setakat boleh baca sajalah.

Inilah salah fahamnya orang-orang kita, mereka tidak dapat menelah apa yang tersirat disebalik setiap suruhan itu.

Baru-baru ini heboh diperkatakan tentang seorang penceramah DAP yang bukan Islam menggunakan sepotong ayat Quran dalam satu ceramah semasa berkempen dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang. Hebohlah media perdana yang mendokong BN menghentam beliau dengan menuduh beliau telah menghina Quran.

Mungkin ada benarnya beliau telah menggunakan ayat Quran itu untuk kepentingan politik beliau dan PR, tetapi dalam masa yang sama media dan orang-orang yang heboh mengutuk tindakan beliau itu juga berbuat demikian adalah kelihatannya seperti untuk kepentingan politik BN juga.

Orang-orang yang kononnya memperjuangkan kesucian dan kemuliaan Quran begitu lantang mengutuk penceramah DAP itu. Tetapi kadang-kadang mereka jugalah orang-orang yang tidak segan silu menghinakan ajaran Quran.

Adalah lebih baik dan berhikmah kalau kita mengambil pendekatan seperti diberitahu oleh ayat 159 Surah Ali Imran bagi menyelesaikan masalah seperti ini. Oleh kerana kita hanya baca Quran tetapi tidak pernah faham apa yang dibaca maka jadilah kita seperti orang hilang punca dalam menyelesaikan masalah. Jadilah kita macam orang bodoh, meracau-racau macam kena sawan.

Buat pengetahuan kita, dalam bidang disiplin keilmuan, setiap fakta yang hendak kita sampaikan dan hebahkan mestilah mencatatkan rujukannya. Selalunya bahan atau tulisan yang yang menjadi rujukan adalah bahan yang diakui kebenarannya dan diikhtiraf. Oleh itu kalau Quran dijadikan rujukan dalam perbincangan dan tulisan, ini sepatutnya menjadi kebanggaan kita kerana ia merupakan satu pengikhtirafan kepada Quran sebagai satu sumber yang benar. Mengapa pula kita boleh berfikir sebaliknya?

No comments: