Apr 28, 2011

MB tak hadiri perhimpunan


ALOR SETAR - “Saya tidak akan hadir ke perhimpunan Melayu Perkasa Kedah kerana ada komitmen lain,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar), ketika ditanya desas-desus mengatakan beliau antara tokoh yang akan memeriahkan perhimpunan itu, selain mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan memberi ucaptama perasmian.

Azizan berkata, badan bukan kerajaan (NGO) itu ada menghantar surat jemputan kepadanya untuk hadir pada perhimpunan itu, namun disebabkan sudah terikat pada komitmen lain, beliau terpaksa menolak jemputan berkenaan.

“Ada hal lain yang tidak dapat saya elakkan, jadi saya tak dapat hadir ke perhimpunan itu,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, terdapat khidmat pesanan ringkas (SMS) tersebar mengatakan Azizan akan hadir ke Perhimpunan Melayu Perkasa, yang akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Sabtu ini. Malah beberapa blog tempatan turut mengesahkan kehadiran Azizan pada majlis perasmian yang akan berlangsung pada 3 petang itu.

Azizan berkata, pihaknya tidak pasti siapa yang menyebarkan SMS itu dan tujuan ianya disebarkan, namun tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu yang mahu mencetuskan isu membabitkan dirinya dengan pertubuhan itu.

“Saya harap penjelasan ini dapat menepis fitnah yang mendakwa kononnya saya akan hadir bersama Tun Dr Mahathir pada majlis perasmian itu,” katanya.

Apr 25, 2011

Antara Calon Baru dan Kerajaan Baru

Satu kain rentang di temui di DUN Pengkalan Berangan, Umno / BN Mendesak supaya dalam Pilihanraya umum ke-13 nanti mereka mendapat calon baru untuk Dun Tersebut, Dun Pengkalan Berangan sekarang dimiliki oleh BN melalui calon mereka Yahya bin khatib dalam pilihanraya 2008. Yahaya Khatib Mohamad (BN) (8,900) , Mohd. Deraman (Pas) (7,970)
Majoriti: 930. Yahya merupakan ketua Umno Bahagian Marang yang telah merampas jawatan tersebut dari Senator Rahman Bakar.Hubungan antara mereka berdua sehingga kini masih belum pulih. Yahaya bergerak di Marang atas nama ketua bahagian dan Rahman bakar bergerak atas nama Pegawai pembangunan Parlimen Marang, mereka bergerak secara berasinagan.



Umno/ BN Pengkalan Berangan perlu sedar dan kena keluar dari berangan-angan. Rakyat sudah bangkit, rakyat bukan setakat mahukan YB baru di Dun tersebut, tapi rakyat mahu YB baru dari parti Lain di seluruh Terengganu. Dengan ertikata lain Dalam pilihan raya umum ke -13 Terengganu perlukan sebuah kerajaan baru untuk meneruskan perancangan dan perlaksaan yang terbatut sejak 2004 hasil kerja jahat Umno/BN yang telah menipu daftar pemilih. Ayuh bangkit PAS GANTI UMNO.

Apr 24, 2011

Azmin Percaya akhbar Milik Umno ???


Setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata timbalan presiden PKR, Azmin Ali tidak seharusnya melenting dan dengan mudah mempercayai apa yang dilaporkan dalam media arus perdana berhubung ulasannya mengenai kes video seks.

Mustafa berkata, Azmin tidak seharusnya mempercayai apa yang disiarkan oleh media 'milik Umno' semalam yang menyebut PAS akan menyemak semula hubungannya dengan PKR ekoran skandal video seks yang dikaitkan dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Media arus perdana, kata Mustafa, hanya mahu memecah-belahkan gabungan Pakatan Rakyat.

"Lihat laporan dalam media bukan milik Umno atau BN seperti Harakah dan yang lainnya, yang lebih bertanggungjawab dalam laporan mereka dan memberi gambaran yang lebih jelas," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Azmin membidas laporan yang memetik Mustafa berhubung video seks yang dikaitkan dengan Anwar.

Apr 22, 2011

Kerajaan PAS Kedah sanggup urus UUM

Kerajaan Negeri mencabar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyerahkan Universiti Utara Malaysia (UUM) sekiranya pengurusan universiti berkenaan tidak mampu mengurus kewangan universiti itu dengan baik.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, cabaran itu dibuat berikutan dakwaan UUM yang mempertikai pembayaran cukai tanah bernilai RM1.7 juta, hingga timbul persepsi bahawa Kerajaan Negeri menaikkan cukai tanah sebanyak 10 kali ganda.

“Ini bukan soal naikkan cukai tanah, kerana nilainya kembali pada asal setelah tempoh rebat tamat. Jika mereka tak mampu urus, kita bersedia ambil alih kerana kita yakin mampu urus UUM dengan sumber kewangan yang ada,” kata kepada Sinar Harian.

Menurutnya, UUM atau Kementerian dialu-alukan untuk berbincang mengenai pembayaran cukai tanah malah pihaknya bersedia bertolak ansur dalam hal ini, antaranya menawarkan bayaran ansuran dan sebagainya.

“Sejak dua tahun lalu, mereka boleh bayar tetapi sekarang kecoh pula, apa motif mereka sebenarnya,” katanya.

Azizan berkata, cukai tanah di Kedah adalah terendah setelah Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah memperkenalkan dasar baru penurunan cukai tanah antara 35 hingga 75 peratus sejak tiga tahun lalu.

“Sejak dasar baru cukai tanah diperkenalkan, Kerajaan Negeri hilang hasil tanah sebanyak RM50 juta. Takkan pula selepas tiga tahun, nak naikkan pula. Saya harap pihak terbabit faham istilah mengekalkan atau menaikkan cukai tanah kerana fakta awal tak tepat,” katanya.

Menurutnya, KPT harus menyalurkan peruntukan secukupnya kepada UUM sama ada untuk pembayaran cukai tanah atau menaikkan taraf infrastruktur saluran paip atau membina tangki air berkapasiti tinggi untuk mengatasi kemelut di universiti terbabit.

Sebelum ini, Azizan memaklumkan bahawa keluasan tanah milik UUM adalah 872 hektar dan cukai yang perlu dibayar oleh Kementerian ialah RM1,743,745 setahun atau 20 sen bagi satu meter persegi.

Namun setelah Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) ketika itu memberikan rebat selama dua tahun, iaitu dari 2006 hingga 2008, UUM hanya perlu melunaskan cukai tanah sebanyak RM100,000.

Dari Blog Nik Mohammad Abduh

Salam Palestin,

Saya terlewat dua hari. Baru sekejap tadi jengok Malaysian Insider cari berita pasal Prof Dr Abdul Aziz Bari kritik Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang untuk ke sekian kalinya.

Tapi dah ada tiga berita rupanya. Kelmari dulu beliau kritik lalu semalam dikritik pula oleh para pemimpin PAS dan hari ini beliau datang lagi mempertahankan kritikannya itu. Ini saya tulis ini kira himpun yang tiga-tiga tu jadi satu.

Terima kasih Prof Aziz kerana kritik. Tahniah Dewan Pemuda PAS Wilayah kerana ‘mengamuk’ dan terima kasih sekali lagi kepada Prof Aziz kerana melarang mereka yang muda-muda itu daripada mengamuk. Antara pantang larang orang-orang akademik ialah tidak boleh mengamuk. Mengamuk tanda tidak akademik dan ilmuan. Nasib baik mereka dah habis belajar di universiti. Jika tidak Prof Aziz akan anggap mereka mahasiswa yang tidak akademik dan berilmu.

Di universiti sekarang, yang terlebih mengamuk ialah kumpulan pro pembangkang. Adapun mahasiswa yang pro kerajaan mereka tidak buat perangai mengamuk. Mereka pada sisi pandang Prof Aziz Bari adalah lebih akademik dan ilmuan. Inilah masalah pembangkang, asyik melahirkan penyokong yang mudah mengamuk. Tak puas hati sikit mengamuk. Dikritik sikit, mengamuk. Mengkritik pun mengamuk.

Tapi saya pula ucap tahniah pada rakan-rakan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Bukan hanya kerana mempertahankan balik presiden mereka, tapi kerana mereka dianggap pengamuk oleh Prof Aziz. Saya tak fikir mereka rasa mereka sedang mengamuk semasa tindakan mempertahan itu berlaku. Hanya apabila Prof Aziz kata jangan mengamuk, baru mereka sedar tindakan mereka adalah amukan kepada Prof Aziz di mata Prof Aziz sendiri.

Jadi tindakan mereka cukup berkesan sehingga dianggap satu amukan oleh seorang bertaraf ilmuan dan akademik. Itu bukan calang-calang. Jadi saya fikir kena ucap tahniah kepada rakan-rakan saya itu. Saya sendiri memang tak boleh mengamuk dah. Dah dua hari terlewat. Mengamuk bukan boleh buat-buat, apatah main tangguh-tangguh.

Untuk pengetahuan, baru- baru ini saya tengok di TV ramai orang mengamuk di Mesir dan Tunisia. Hasilnya tumbanglah kedua-dua kerajaan yang sedia ada. Dengar kata, kerajaan tersebut sebelum itu tak suka rakyatnya mengamuk, malah menyekatnya. Nampaknya, mengamuk ini tidak disukai oleh orang-orang akademik seperti Prof Aziz Bari dan kerajaan yang zalim seperti Husni Mubarak.

Tetapi di sisi orang-orang berilmu di medan kehidupan dan perjuangan, oleh kerana sifat amuk itu berakar semulajadi dan tabie sifatnya, apatah di kalangan orang-orang Melayu mengikut kata orang putih, mereka telah menjadikannya satu aset penting memacu perjuangan dan kejayaan. Di Mesir tadi contohnya, amukan rakyat marhaen dan anak-anak muda itu telah disusun dan ditarsyidkan dengan sempurna oleh orang-orang berilmu yang berbakti di medan kehidupan dan perjuangan. Dikatakan, para ulama banyak memainkan peranan besar mengurus kerja-kerja tarsyid terhadap amukan rakyat tersebut sehingga membuahkan hasil yang diinginkan oleh semua termasuk Prof Aziz sendiri, iaitu kemenangan menumbangkan kezaliman. Para ulama tersebut walau bagaimanapun, sepertilah tuan guru presiden, biasanya dianggap lembap, kurang strategi dan terlalu ukhrawi dan kurang duniawi.

Mungkin kerana itulah saya gembira dengan ‘amukan’ pemuda Wilayah itu. Ini kerana mereka mengamuk mempertahankan ulama. Oleh kerana ulama ini kerja besarnya adalah tarsyid dan mengurus kebangkitan umat, maka saya yakin pemuda Wilayah, bahkan seluruh pemuda PAS akan sentiasalah amukan mereka itu terurus dengan baik kerana sentiasa diurus para ulama yang dipertanggung jawab oleh Allah untuk mengurus umat Islam sampai bila-bila selagi tak kiamat.

Tapi, Prof Aziz Bari tak boleh mengamuk. Pertama beliau tak suka orang mengamuk, maka mana boleh dia memgamuk? Kedua, jika beliau mengamuk tak ada ulama atau sesiapa pun boleh uruskan dia. Lihat saja dua tahun lepas, beliau telah mengamuk dan amukannya tak henti-henti sehingga datang mursyidul am PAS mengarahkan sebuah muktamar tergempar parti PAS untuk ‘menyelesaikan’ amukan Prof Aziz itu. Susah habis segala orang bila amukan tiada tarsyid berlaku.

Mungkin Prof Aziz Bari tak merasa pun dia mengamuk pada masa itu, tetapi saya dan ramai melihat dia telah mengamuk. Samalah seperti Prof Aziz anggap pemuda PAS Wilayah mengamuk hari ini sedangkan mereka tak rasa pun mereka sedang mengamuk.

Untuk pengetahuan, orang mengamuk secara umumnya memang tak sedar dia mengamuk. Kita hanya boleh melarang orang mengamuk selama mana kita sendiri tidak dalam dunia amukan.

Kemudian, Prof Aziz Bari nampaknya begitu bersyukur PAS kalah di Beting Maro, Sarawak dalam pilihan raya negeri itu baru-baru ini. Agak lama beliau tidak memiliki peluru buat membedil tuan guru presiden. Bayangkan jika PAS menang, peluru itu pasti bertukar menjadi peluru plastik. Prof Aziz akan bungkam atau jika dia mahu menembak juga dia akan berkata, sepatutnya PAS menang di dua atau tiga kerusi yang ditandinginya atau PAS sepatutnya bertanding di seluruh DUN majoriti Islam! Ha, keplastikan sangat peluru itukan. Maka mari bersyukur PAS kalah di Beting Maro..

Kemudian, Prof nampaknya terus mengagumi dan meratapi pemergian almarhum Dato Fadhil Nor. Seolah-olah beliau berkata, oh, kalaulah almarhum masih hidup, bla bla..

Saya pula lain. Bagi saya nasib baik beliau telah pergi menemui kekasihnya yang hakiki itu. Kerana ‘jikalah’ beliau hidup, siapa pula akan memimpin Pakatan Rakyat? Fadhil Nor atau Anwar? Saya naik bimbang pula bahawa Prof Aziz pada masa itu akan menghentam Anwar pula semacam RPK lakukan atau mencincang lumat almarhum Dato Fadhil Nor sambil berkata, “Kamu ni menyusahkan, sepatutnya kamu telah mati 10 tahun lepas lagi.” Bahasa orang mengamuk mana boleh agak?

Jadi, bagi saya, ketiadaan almarhum yang telah dipilih awal oleh Allah itu adalah kebaikan untuk semua. DSAI selesa memimpin PR dan Prof Aziz pula selesa melibas sana sini, wassana wassini.

Akhirnya, bagi saya, presiden PAS adalah liabiti jika;

Pertama, jika beliaulah yang telah mengumumkan Baru Bian sebagai bakal Ketua Menteri Sarawak dalam PRN Sarawak baru-baru ini yang telah menyebabkab PBB memperolehi undi swing Melayu Melanau Islam di sana dengan mudah dan percuma yang menyebabkan PAS apatah PKR sendiri kehilangan banyak undi.

Kedua, jika beliaulah yang mendesak MB Kelantan agar mengekalkan
larangan premis jualan untuk judi loteri yang mencetuskan kemarahan DAP, MCA, kaki judi dan sebahagian non muslim lelaki (wanita mana suka suami berjudi?).

Ketiga, jika beliau tidak suka Prof Aziz Bari mengkritiknya.

Jika tidak, maka tidaklah. Jadi, nasihat saya, teruslah mengkritik dan teruslah mengamuk. Kedua-duanya adalah bukan liabiliti buat PAS dan para ulama rabbani.

Apr 21, 2011

Presiden Sedia Berundur ?



"Bagi jawatan Presiden sendiri, jika ada pencalonan yang diterima oleh pemimpin lain untuk menentang saya, saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya pun bukan untuk menjadi pemimpin selamanya. Sebaliknya, saya sendiri pun dah semakin berumur dan memang memerlukan barisan pelapis,"
-TUAN GURU HJ ABDUL HADI AWANG-

Apr 20, 2011

Prof Aziz Bari sangat tidak pro

Salam semua, membaca jawapan balas Aziz bari kepada Pemuda Wilayah jelas menunjukkan bahawa beliau tidak pro. Kenapa saya berkata begitu? Beliau menjawab balik jawapan pemuda Wilayah malahan dengan penuh emosi, beliau perlu ingat bahawa itu hak pemuda Pas Wilayah mempertahankan pemimpin mereka. Mereka tidak mahu pemimpin di keji oleh orang yang bukan ahli, nampak macam penyokong tapi bukan penyokong.

Sepatutnya Aziz Bari kena belajar dari Tuan guru Hj Abdul Hadi, yang sedikit pun tidak menyentuh atau menjawab sebarang tuduhan yg dibuat oleh Aziz Bari, tapi Aziz bari sendiri jelas melenting dengan jawapan balas oleh Pemuda Wilayah.

Aziz membandingkan gerak kerja PAS dan DAP di Sarawak, beliau mendakwa sepatutnya Pas menang di Beting Maro . Beliau perlu melihat keputusan secara menyeluruh mengikut Saluran dan tempat mengundi. Barulah beliau sepatutnya mengulas kekalahan PAS di Beting Maro. Soal dakwaan beliau bahawa Pas tidak membuat kerja awal di Beting Maro spt DAP, saya rasa Aziz bari kena check dengann YB Wan Rahim YDP Pas Kota Bharu. Apa yang telah mereka lakukan di Beting Maro sejak 2000 dulu lagi.

Suka diperjelaskan kpd Aziz Bari peti undi Beladin di Beting Maro pada tahun 2001 dan 2006 pas telah mengusai nya dengan memenangi Peti undi tersebut, sebagai makluman peti undi tersebut adalah makoriti pengundi Melayu malanau. Pada pilihanraya lepas Pas tewas di peti undi tersebut. Kenapa, ini kerana pengundi Melayu malanau di situ telah terhasut oleh mainan psykologi BN yang sekiranya Pakatan menang maka Baru Bian akan menjadi KM Sarawak, maka tersentak pengundi melayu disitu.

Aziz membandingkan PAS dan Dap tetapi tidak memasuki sama dalam perbandingan tersebut PKR , PKR bertanding 43 kerusi dan menang 3, bermakna kalah 40. Pas hanya 5. PAS tahu kekuatan di Sarawak, Pas tidak gila kerusi , Pas tahu meraka tidak punya ramai calon di sarawak. Ini tidak sudahlah tiada calon hendak juga kerusi yang banyak dan selepas menang maka melompat lompat meninggalkan parti, dalam kes lompat mengapa tidak dibuat perbandingan dgn PAS dan PKR dan DAP?

Akhirnya sebagai muslim suka kita mengembalikan kepada sandaran sejarah perjuangan Rasulullah. Adakah Rasullah meletak jawatan atau di pecat selapas tewa dalam peperangan Uhud?

Tok Guru Nik Abdul Aziz Jawab Prof. Aziz Bari

Saya diminta oleh pihak media untuk memberikan respon terhadap kenyataan seorang pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang ditukar ekoran kekalahan PAS di Terengganu pada tahun 2004 dan juga kekalahan PAS di dalam siri beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini termasuk juga kegagalan PAS merebut sebarang kerusi di dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.

Pertama saya ingin menyatakan bahawa Dr Abdul Aziz Bari selaku seorang warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS.

Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding di dalam pilihanraya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihanraya. Justeru, ini merupakan hak Dr Abdul Aziz Bari untuk mengeluarkan pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik.

Namun, perlu saya ingatkan, PAS mempunyai kaedah-kaedahnya yang tersendiri untuk memilih pemimpin. Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihanraya adalah satu langkah yang kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihanraya.

Sememangnya memenangi pilihanraya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihanraya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi. Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS.

Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar? Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar? Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT.

Sekian, wassalam.


YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan Darul Naim.

Bertarikh : 20 April 2011 M / 17 Jamadil Awal 1432 H

Minta Nasrudin pertahan jawatan





Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu mencadangkan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan mempertahankan jawatan yang disandangnya ketika ini dalam pemilihan Muktamar Pas ke-57, Jun ini.

Ketuanya, Mohd Nor Hamzah berkata, keputusan tersebut diambil kira berdasarkan cadangan dan pandangan di peringkat Pemuda Kawasan di seluruh negeri ini.

Menurutnya, cadangan tersebut cuba mengekalkan Nasrudin sebagai Ketua Pemuda, sekali gus membuka peluang kepadanya untuk meneruskan kepimpinan sedia ada pada penggal berikutnya.

“Beliau lebih sesuai meneruskan kepimpinan pemuda dan meneruskan gerak kerja terutama dalam merealisasikan agenda Pas Ganti UMNO,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Kata Mohd Nor, rasionalnya pemuda sedang bergerak untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kita mengekalkan yang sedia ada kerana kalau berlaku perubahan, kita lihat agak sukar untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat yang kini disandang Azman Shapawi Abdul Rani, be-liau berkata, pihaknya menyerahkan keputusan tersebut kepada perwakilan, begitu juga dengan jawatankuasa lain.

Mohd Nor bagaimanapun berharap mana-mana pihak yang dipilih untuk mengisi jawatan lain di peringkat jawatankuasa Pemuda Pas Pusat supaya bekerjasama dalam memastikan keutuhan gerakan Pemuda.

“Kita berharap gabu-ngan kepimpinan yang dilantik pada masa akan datang dapat meneruskan agenda penting untuk mendekatkan anak muda dengan semangat perjuangan Pas melalui ‘Orang Muda Geng Kita’,” katanya.