May 27, 2009

Menjelang Muktamar ke-55 ( 2 )

Mengapa kini ada pertembungan ulamak dengan profesional? Benarkah semua profesional atau segelintir profesional yang digelar sebagai “Erdogan”[1] yang marahkan ulamak lalu bercadang untuk menggantikannya dengan “Kepemimpinan Islam?[2] Setelah meneliti sejarah gerakan Islam di Malaysia dan kaitannya dengan beberapa rangkaian gerakan Islam sedunia, maka dengan rendah diri dan sedikit ilmu yang ada, kita ingin bentangkan kepada PAS khususnya barisan Pemudanya yang barangkali tidak mengetahui sejarah gerakan Islam Malaysia,[3] mahupun pimpinan ulamaknya yang barangkali “terlupa” beberapa fakta yang telah kita bentangkan di atas.


Walaupun tahun 1999 memperlihatkan buat pertama kalinya gabungan mantap ulamak-profesional, jangan ada kalangan dari kalangan profesional itu sendiri yang mempunyai grand design yang lain. Fakta ini tidak dapat kita nafikan sebegitu sahaja. Bahang Muktamar semakin tiba. Buat pertama kalinya, desas-desus timbul pimpinan yang menawarkan diri bertanding dalam pimpinan PAS Pusat dikaitkan dengan politik wang. Hatta kenyataan Ketua Dewan Ulamak yang mengingatkan ahli supaya menjauhi politik wang telah dilaporkan oleh pimpinan yag terkenal sering berbaju kotak berpetak[4] supaya Ketua Dewan Ulamak diseret di hadapan Dewan Harian untuk membuktikan kenyataannya!

Jalan keluar kepada kemelut ini tidaklah begitu sukar pada hemat kami. Yang kami amat risaukan ialah, idea ini yang mula kedengaran tahun lepas diperkembangkan dengan hebat dan seolah-olah ada pakatan untuk meminggirkan peranan ulamak dalam PAS. Dalam hal ini, kami menyeru supaya:-

(i) Gagasan Kepemimpinan Ulamak dikekalkan sebagai benteng kekuatan PAS;

(ii) Gabungan mantap Ulamak-Profesional dipertingkatkan lagi;

(iii) Kerjasama PAS dengan rakan kongsi PKR dan DAP dalam rangka Pakatan Rakyat diteruskan berasaskan konsep “tahalluf as-Siyasi” yang telah kita gariskan;

(iv) PAS memperkemaskan tarbiyyah ahlinya ke arah persiapan mentadbir negara; dan

(v) PAS bersedia berbincang dengan mana-mana pihak atas dasar Islam dan dakwah demi kepentingan ummat Islam dan rakyat Malaysia amnya.

Dalam hal ini, bagi kalangan mereka yang mempunyai sebelah kaki dalam PAS dan sebelah kaki lagi dalam kumpulan yang lain yang terus menerus mendapat arahan yang bertentangan dengan keputusan Majlis Syura dan Pimpinan Tertinggi PAS sedia ada, sila buat keputusan muktamad – bersama dan menerima PAS sebagai satu-sataunya wadah yang diangggotainya atau meninggalkan PAS dengan cara baik dan menjadi rakan sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat. Prinsip kita jelas – Anwar pun sekutu politik PAS dan Lim Kit Siang juga rakan kita dalam PR. Tapi kalau ikut arahan Anwar atau Lim Kit Siang terutamanya dalam keputusan-keputusan dasar melebihi arahan pimpinan kita, itu tak perlu pohon derhaka sebab PAS akan tahu dalam masa terdekat. Allah akan melindungi jamaah-Nya. Bukankah Allah sendiri sudah berjanji dalam surah al-Maidah, ayat 54 – 56? PAS akan memberikan kata dua. Kita pernah lakukan sebelum ini kerana kita tidak boleh lagi bertahan dengan perangai “musuh dalam selimut” atau “bertuankan” pimpinan di luar kepemimpinan Ulamak PAS sedia ada. Dan kita berani lakukan lagi.......


Selamat bermuktamar dan semoga Allah SWT

membuka semua hati kita, merapatkan saff kita semula

dan memberikan kekuatan kepada kita untuk

terus berjuang di jalan-Nya yang lurus.



Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Wallillahi’l-Hamd



______________________
[1] Istilah “Erdogan” merujuk kepada suasana perbalahan politik Islam kumpulan Erdogan dan Erbakan di Turki.

[2] Secara luarannya slogan “Kepimpinan Islam” nampak tiada salahnya, malah tiada jauhnya dengan “Kepimpinan Ulamak.” Namun jika dianalisis dengan teliti jauh di sudut slogan itu, ia boleh membawa maksud berikut: (i) Jika diterima, PAS mungkin akan mendapat seorang Presiden, Timbalan , AJK Pusat dan sebagainya pada masa akan datang daripada kalangan bukan ustaz dan ulamak kerana kepimpinan ulamak mengkhususkan pimpinan berada di kalangan ustaz dan mereka yang berpendidikan agama. (ii) Jika diterima, ulamak tidak akan memimpin PAS lagi kerana dilihat kurang berkeupayaan dan tidak profesional mentadbir negara/negeri (iii) Jika diterima, semua keputusan PAS akan digerakkan dan dilakukan oleh kalangan profesional dalam jangka panjang. Jika ada kalangan ustazpun, mereka ini ustaz yang boleh ikut arahan profesional. Siapakah profesional sebenarnya yang menasihati kalangan profesional lain dalam barisan pimpinan PAS sekarang supaya mengemukakan idea grand design seperti ini....? Idea ini masih disokong oleh sesetengah pimpinan negeri PAS. Sila lihat Siasah, 17- 23 Mei, hal. 16 bagaimana Dr. Hamzah Jaafar, YDP PAS Jerantut memberikan justifikasi kenapa perlunya kepimpinan Islam menggantikan kepimpinan ulamak.

[3] Atas kesedaran itulah kami bentangkan sejarah benar gerakan Islam di Malaysia secara ringkas yang dapat dipertanggungjawabkan berserta rujukan dokumen berkaitan.

[4] Pimpinan Pusat yang dimaksudkan ini dikatakan amat rapat dengan Anwar Ibrahim dan juga IRC. Apabila timbul ejekan dalam pelbagai blog mengenai “sibaju petak” yang dikatakan terlalu mengikut telunjuk Anwar Ibrahim, YB Dato’ Husam Musa timbul memberikan kenyataan akhbar, “berapa juta mereka yang berbaju petak-petak, bukan saya seorang!” Hairan juga, daripada beberapa juta orang yang berpakaian sebegitu, Husam seorang yang terasa......... Aneh juga!


Petikan : micelup.blogspot.com/

No comments: