Feb 23, 2010

Ordinan Darurat Dimansuhkan, Bukan Lagi Alasan Tolak Tuntutan Royalti - Husam

Anggota exco kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa berkata Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969, yang digunakan oleh kerajaan pusat sebagai alasan bagi menetapkan bahawa Kelantan tidak layak menerima royalti, telah dimansuhkan pada 1979.

Oleh itu, katanya, ordinan berkenaan tidak boleh digunakan oleh kerajaan pusat dalam isu tuntutan royalti oleh keraaan Kelantan.

"Bagaimana kerajaan pusat boleh mengguna pakai ordinan yang telah dimansuhkan dan diiklankan dalam akhbar pada Ahad lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini bagi mengulas langkah kerajaan pusat menyiarkan iklan satu muka surat penuh di semua akhbar arus perdana berbahasa Melayu pada Ahad lepas bagi memberikan fakta sebenar mengenai kenapa Kelantan tidak layak menerima royalti minyak.

Kerajaan Kelantan bertegas mahukan kerajaan pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Dua telaga minyak berkenaan terletak 150 batu nautika dari perairan Kelantan sedangkan Seksyen 4(2) Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 menyebut negeri di dalam Malaysia mempunyai perairan wilayah hanya setakat tiga batu nautika (5.5 kilometer) diukur dari paras air surut.

Kerajaan pusat bersetuju memberi RM20 juta wang ihsan kepada penduduk Kelantan, yang merupakan bayaran pertama sebanyak lima peratus daripada hasil dua telaga minyak pada 2008, sama seperti yang termaktub di dalam perjanjian Akta Peroleum 1975, iaitu bayaran lima peratus daripada hasil keuntungan minyak dan gas kepada kerajaan negeri.

Husam juga berkata keputusan sama ada kes tuntutan royalti petroleum oleh kerajaan Kelantan akan dibawa ke mahkamah akan ditentukan minggu depan selepas exco dan Anggota Dewan Undangan Negeri mendengar taklimat mengenai isu itu daripada bekas Peguam Negara, Tun Salleh Abas, pada Ahad ini. - BERNAMA

No comments: