Feb 23, 2010

Keputusan Jawatankuasa Disiplin Perlu Di Taati - Nasharudin

Berikut adalah temuramah ringkas pihak ANN bersama YB Ust Nasharudin Mat Isa di KLIA sejurus sebelum beliau berangkat ke Doha, Qatar.


ANN : Selepas Jawatankuasa Disiplin PAS membuat keputusan dengan memberi amaran kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, YB Dato Dr. Hasan Ali dan menggantung jawatan parti selama 6 bulan kepada Yang DiPertua PAS Shah Alam, YB Khalid Samad, kedengaran suara-suara dikalangan blogger, ahli dan pimpinan PAS sendiri yang tidak berpuashati terhadap hukuman tersebut,lebih-lebih lagi dikalangan pengikut dan rakan-rakan YB Khalid Samad. Bagaimana YB melihat perkembangan tersebut?

YB Nasharudin : Selepas keputusan keluar masih terdapat respon-respon yang seolah-olah mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin tersebut. Saya ingin memberikan nasihat dan pandangan di sini. Pertamanya, keputusan jawatankuasa disiplin itu adalah keputusan yang dibuat secara kolektif oleh jawatankuasa bukan oleh individu, bukannya oleh pengerusi jawatankuasa disiplin dan sudah tentulah selepas menerima bahan-bahan bukti yang sewajarnya dan selepas mengadakan perbincangan dan juga selepas mengadakan soal jawab bersama mereka yang terlibat, keputusan tersebut telah dibuat.

Isunya saya lihat ada beberapa kenyataan termasuk kenyataan yang keluar daripada pimpinan Dewan Pemuda yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa pemuda yang mempertikaikan keputusan tersebut.

Ini adalah sebuah jamaah Islam, sebuah gerakan Islam, sebuah parti Islam yang mempunyai disiplinnya sendiri. Disiplin itu adalah disiplin untuk kita mentaati keputusan parti. Memang parti tidak pernah menyekat seseorang untuk memberikan pandangan, pendapat dan sebagainya, tetapi pandangan dan pendapat itu mestilah dalam kerangka jamaah itu sendiri, dalam kerangka Islam,dalam kerangka adab dan akhlak Islam.

Saya melihat mempertikaikan kenyataan/keputusan jawatankuasa disiplin ini adalah sedikit keterlaluan kerana saya sebutkan tadi keputusan itu dibuat secara kolektif dan bagi saya keputusan ini bukan sekadar perlu dihormati tetapi perlu ditaati keputusan tersebut kerana itu mewakili parti dan ianya telah dibuat dengan penilitian dengan bahan bukti dengan temubual dengan mereka yang berkenaan dan bukan sesuatu yang dihasilkan oleh individu-individu tertentu di dalam jawatankuasa tersebut.

Jadi disiplin ini adalah disiplin yang perlu kita fahamkan kepada seluruh ahli bahawa sebuah jamaah Islam, kita perlu akur kerana ianya bukan melanggar syarak tetapi cuba melaksanakan tuntutan syarak itu dan kalau terus menerus mempertikaikan keputusan-keputusan parti dan juga keputusan jawatankuasa disiplin ini akan menimbulkan suasana yang tidak sihat di dalam parti dan boleh membawa kepada keretakan yang akan memberikan kesan yang negative kepada parti kita.

Saranan saya adalah sepertimana juga yang telah disebut oleh Yang Berbahagia Setiausaha Agong dan pengerusi Jawatankuasa Disiplin. Sebagai Timbalan Presiden, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan peringatan kepada ahli-ahli kita bahawa keputusan parti dan dalam konteks ini yang diwakilkan kepada jawatankuasa disiplin, harus ditaati dan tidak perlu dibuat ulasan-ulasan yang boleh menimbulkan spekulasi yang berbagai tentang keadaan di dalam parti kita. Kalau ada permasalahan yang tidak puas hati, bawa ke dalam parti. Kita punya mekanisma tertentu di dalam parti yang boleh kita bangkitkan sesuatu isu ataupun menyelesaikan sesuatu isu bukan untuk dibawa urusan rumahtangga ini kepada media luar untuk diketahui oleh seluruh dunia.

Mungkin ramai orang yang pandai menulis, yang pandai berikan pandangan/pendapat, tetapi sekali lagi mestilah di dalam kerangka yang telah ditetapkan oleh parti sendiri.


ANN : Perlukah tindakan dikenakan terhadap ahli jawatankuasa dewan pemuda yang mengeluarkan kenyatan terbuka mempertikaikan keputusan jawatankuasa disiplin tersebut?



YB Nasharudin : Saya difahamkan Dewan Pemuda sudahpun membuat satu perbincangan khabarnya kebarangkalian tindakan yang diambil ke atas exco yang berkenaan. Bagi saya Dewan Pemuda harus firm disini, harus bertegas dalam konteks ini kerana ianya melibatkan keseluruhan dewan itu dan juga keseluruhan parti. Jadi, mereka harus bertegas untuk tindakan yang sewajarnya dikira perlu untuk diambil bagi memastikan ianya tidak menjadi satu kanser yang akan merebak di dalam parti.

No comments: