Jan 22, 2010

Terengganu Rombak Pegawai Besar-Besaran

Kerajaan Negeri melakukan rombakan besar dalam pentadbirannya, apabila seramai 48 Pegawai Tadbir (PTD) Negeri terlibat dengan pertukaran jawatan termasuk diarahkan bertukar melibatkan semua peringkat, berkuat kuasa 1 Februari depan.

Pertukaran itu dibuat berikutan persaraan awal Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mokhtar Nong pada 15 April depan.

Pemangku SUK, Datuk Mazlan Ngah ketika mengumumkan perkara itu berkata, pertukaran itu turut membabitkan jawatan Datuk Bandar Kuala Terengganu yang akan diambil alih Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Terengganu, Datuk Adzlan Mohd Dagang bagi menggantikan Datuk Mat Razali Kassim.

Katanya, manakala Mat Razali pula bakal mengambil alih jawatan Adzlan iaitu sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Terengganu.

Beliau berkata, turut bertukar ialah Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (Satu), Datuk Mustofa Abd Rahman ditukarkan memegang jawatan Pegawai Daerah Dungun yang sebelum ini dipegang oleh Zulkifli Mohamad. Tempat Mustofa diambil alih oleh Timbalan SUK (Pengurusan), Husain Embong.

Pegawai Jawatan Kumpulan Pejabat SUK, Tuan Mamat Tuan Ngah ditukar sebagai Pegawai Daerah Besut, Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Mohd Zulkifli Abu Bakar dan Pengarah Yayasan Terengganu, Md Kamaru Al-Amin Ismail masing-masing memegang jawatan Timbalan Pengarah (Makro), Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan Pe-ngarah YIT.

“Berikutan pertukaran dan rombakan itu juga, dua jawatan baru turut diwujudkan iaitu jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Skills Development Center (Kolej Tesdec) dan Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Terengganu.

Menurut beliau, kedua-dua jawatan itu masing-masing akan diisi Datuk Mohd Alim Muda dan Zulkifli Mohamad yang sebelum ini memegang jawatan Pegawai Daerah Kuala Terengganu dan Pegawai Daerah Dungun.

Beliau berkata, surat pertuka-ran kepada pegawai terbabit telah dikeluarkan kelmarin dan rombakan tersebut adalah untuk mengisi kelompongan serta kekosongan jawatan di semua peringkat di pejabat PTD.

“Dalam pertukaran ini empat aspek yang kita ambil kira adalah dari segi merit, kekananan (senioriti), penerimaan ('acceptability') dan integriti.

“Berikutan pindaan dan pertukaran pegawai tadbir ini, masih terdapat lebih 40 kekosongan belum diisi untuk semua peringkat dan sekarang proses pengambi-lan pegawai baru terus berjalan di mana kita harap ia dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan atau dua bulan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman, di sini, semalam yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Menurut Mazlan, berikutan pertukaran itu setakat semalam, pihaknya menerima maklum balas yang amat baik daripada pegawai terbabit dan masih tiada komen negatif diterima.

“Sebelum ini, saya juga telah membuat perjumpaan dengan semua pegawai tadbir negeri pada 17 Januari lalu untuk menerangkan hasrat supaya semua pegawai tadbir memberi sokongan yang padu kepada pentadbiran dan politik negeri,” katanya.

Sementara itu, Ahmad ketika mengulas pertukaran itu berkata, walaupun mungkin terdapat sesetengah pihak tidak berpuas hati dengan pertukaran tersebut, tetapi mereka perlu akur dengan keputusan yang telah ditetapkan.

“Kalau nak ambil kira soal itu, memanglah setiap kali berlaku pertukaran akan ada pihak yang tidak berpuas hati, namun kita perlu redha.

“Bagi saya benda ini ‘simple’ kerana jika ada orang kata kita tidak bagus, maka kita kena kerja lebih bagus untuk membuktikan kita boleh buat seterusnya orang akan nilai kebolehan dan kemampuan kita, mungkin suatu masa nanti kita akan diberi peluang lagi,” katanya.

Beliau berkata, sebagaimana pertukaran PTD tahun lalu, mungkin ada pihak yang tidak berpuas hati, tetapi sekiranya mereka menunjukkan prestasi bagus dan pihak kerajaan berpuas hati, peluang akan tetap diberi kemudian.

“Kita akan memberi peluang kepada mereka untuk menjawat jawatan tertentu dan apa yang lebih penting adalah komitmen diberikan mereka sendiri.

“Mengenai pertukaran ini apa yang lebih penting sebagai orang Islam ialah kita perlu yakin dengan rezeki kita, mungkin ketika ini masih tiada rezeki kita lagi,” katanya.

4 comments:

uminas said...

Sebab tu jugaklah KSB pun ada misi pemutihan...orang niagapun kena gak..mana mana bkn kroni mat said kena angkat kaki...

Cekik said...

Dah dia jadi MB dan ada kuasa, suka hati dia le nak rombak ke nak pecat ke nak lantik ke orang2 yang dia suka.

Kalau Idris Jusoh dulu pun dia lantik orang2 dia juga.

Zaman Haji Hadi dulu pun dia cah keting habis dan lantik orang2 dia juga.

Pokoknya, siapa yang berkuasa tak kira Pas atau Bn, hal ini bukanlah isu pun. Sama saja.

Embong anak Ngah said...

Kalau Puan Ctkay's jadi MB, Puan Ctkay's akan buat perkara yang serupa. Dotkang nok suruh orang sekeliling kito oran hak dokleh kerja samo dengan kito, dok rok cetong lagu tu.

Law (LLB) Center said...

Masa PAS memerintah, anak syarikat pmint suterasemai telah diarahkan untukmembuat urusniaga ke sebuah negara arab. tanpa dokumen yang proper urusniaga tersebut mengalami kerugian kerana syarikat tersebut tidak dibayar. kononya percaya negara arab ni adalah semasa islam dan baik hati sekali. BODOH