Jun 21, 2008

Jenama Islam Hadhari telah beri kesan negatif!

MUFTI Perlis, Dr Mohd Asri tetap mempertahankan prinsipnya sebelum ini yang menolak jenama Islam Hadhari.


Ketika diajukan isu pengharaman Islam Hadhari yang telah diusulkan oleh Kerajaan Selangor baru-baru ini, beliau berpendapat Datuk Seri Abdullah Badawi perlu akur bahawa jenama Islam Hadhari telah memberi kesan negatif di atas apa pun alasan yang diberikan oleh penyokong-penyokong jenama tersebut.

"Walaupun saya tolak jenama Islam Hadhari tapi saya pertahankan isi kandungannya yang bagus. Pak Lah sepatutnya tidak mendengar hujah yang diberikan oleh penyokong-penyokong jenama Islam Hadhari," katanya.

Antara kelemahan Islam Hadhari ini ialah adanya lambakan hiburan yang berlebihan dan menyusahkan masyarakat Islam.
"Saya bukan anti hiburan. Cuma hiburan tidak boleh berlebihan kerana generasi muda tidak ada tumpuan terhadap tanggungjawab dan nilai-nilai patriotik, negara dan bangsa.
"Nilai-nilai ini perlu dipertahankan kerana saya lihat remaja lain tidak begitu dan longgokan hiburan ini hanya pada orang Melayu saja," katanya lagi.

Sebelum ini, Dr. Asri antara yang lantang memberi pandangannya tentang Islam Hadhari.
“Istilah Islam Hadhari telah mengelirukan banyak pihak walaupun isi kandungannya baik. Malangnya, perlaksanaan isi kandungan itu kurang kelihatan, selebihnya hanya jenamanya sahaja yang diwar-warkan.

Beliau mencadangkan kepada pihak yang menolak secara ‘pakej’ Islam Hadhari supaya menilai dengan objektif, menerima aktiviti yang baik atau dasar-dasar yang baik yang termuat dalam Islam Hadhari dan boleh menolak jenama yang mengelirukan itu.

Susulan itu, Dr Asri juga pernah membuat kenyataan supaya dibuang saja namanya tapi makan isinya seperti kueh tahi itik di Kelantan - "tak perlu panggil tahi itek, cuma makan sudahlah”.
"Jangan silap faham, saya pertahankan inti kandungan Islam Hadhari," katanya.

Ingat-ingatlah, insaf-insaflah.

No comments: