Jun 10, 2008

Harga Minyak naik, 60 nelayan mogok

Hampir 60 nelayan pukat tunda berpengkalan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Chendering, di sini dikatakan ‘mogok’ daripada keluar ke laut untuk menangkap ikan sejak beberapa hari lalu, apabila hasil yang diperoleh tidak berbaloi dengan keperluan minyak diesel.

Kebanyakan nelayan terbabit dikatakan bertindak melepaskan geram dengan cara tersebut sehingga rela ‘menganggur’ akibat tidak sanggup berhadapan dengan kadar kenaikan harga minyak diesel beberapa hari lalu.
Seorang nelayan, Ismail Ali, 62, ketika ditanya wartawan Sinar Harian berhubung tindakan yang diambilnya untuk tempoh berapa lama berkata, dia hanya akan ke laut semula setelah mendapati ikan kembali banyak.


“Sekarang ini, musim ikan memang tidak banyak dan kenaikan harga minyak secara mendadak pula agak membebankan kami, menyebabkan ada ketika hanya memperoleh pulangan bersih RM25 sehari sahaja, itu pun kalau dapat hasil.

“Memang membebankan kerana sebelum ini keperluan minyak untuk dua hari contohnya adalah sebanyak RM500, tetapi sekarang sudah mencecah RM700 dan sekiranya hasil yang didapati RM1,000, kami perlu membayar untuk minyak tersebut ditambah dengan makan dan minum dalam RM100 dan kemudian perlu dibahagi dua dengan pemilik bot.

“Baki yang tinggal kemudian perlu dibahagi pula dengan tiga rakan lain yang berada dalam bot sama,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, di sini, semalam..

Rakannya, Abdullah Salleh, 54, pula memberitahu, dia tidak tahu melakukan aktiviti lain bagi meneruskan kehidupannya dan dia juga memutuskan tidak akan ke laut buat masa ini. “Sekiranya ada bantahan pun, tidak mungkin keadaan ini dapat membantu kerana apa yang saya dengar, akan berlaku lagi kenaikan harga minyak pada bulan Ogos nanti.

“Ini agak meresahkan kami yang bekerja sebagai nelayan, macam mana hendak ke laut sedangkan kami seolah-olah mencurah minyak di laut jika tidak mendapat hasil tangkapan,” katanya dengan nada kesal.

Dipetik dari Sinarharian Terengganu 10 Jun 2008

2 comments:

Melayu-Kini said...

mari kita tengok pelakon lelaki terbaik dan popular. http://pewarismelayu.blogspot.com/2008/06/penulis-melihat-karekter-anwar-ibrahim.html

su-kj said...

A.kum Cikgu,

Semua naik...hujan jer turun !