Mar 10, 2010

Politik Terengganu bergolak semula?

Sumber :Sinar Harian 9 Mac 2010

Kali terakhir akhbar memberikan liputan tentang politik Terengganu adalah kira-kira lima bulan lalu apabila Pengerusi Badan Perhubungan Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan “UMNO Terengganu sudah bersatu hasil usaha ramai pihak untuk memulihkan keadaan politik di negeri ini demi memastikan keutuhan UMNO terus terpelihara.”

Beliau menggunakan alasan kehadiran hampir semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dalam mesyuarat Badan Perhubungan Negeri ketika itu untuk membuktikan pergeseran yang dikatakan berlaku dalam parti itu di Terengganu adalah tidak berasas.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri ketika mengumumkan pelantikan beberapa pengerusi biro turut memaklumkan bahawa bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dilantik sebagai Pengerusi Biro Pengundi Luar.

Di kalangan pengulas politik boleh dikatakan agak lama juga kisah politik Terengganu tidak menjadi tumpuan mereka. Joceline Tan yang beberapa kali mengulas pergolakan politik negeri itu, kali terakhir menulis pada 13 September lalu. Di bawah tajuk No Sign of Burying the Hatchet dalam sebuah akhbar beliau mengatakan, penyelesaian krisis politik Terengganu bukannya mudah kerana puak yang bertelagah membakar jambatan mereka. Bersama artikel itu dimuatkan foto yang cukup simbolik dan sinis, iaitu Datuk Ahmad Said menunggang gajah – menandakan perjalanan yang lekak-lekuk.

Sebagaimana beberapa telahan lain, jangkaan Joceline bahawa sesuatu akan berlaku selepas Hari Raya Aidilfitri juga tidak menjadi kenyataan: Ahmad masih tidak mengosongkan kerusi Menteri Besar. Apabila segalanya kelihatan memihak kepada beliau, Ahmad mula berasa selesa dan terbang tinggi, bahawa era beliau sebagai Menteri Besar belum berakhir, meskipun bulan demi bulan orang meramalkan nasib tidak menyebelahinya.

Ahmad dan penyokongnya mampu tersenyum dan memperlekeh segala usaha untuk menyingkirkan beliau sebagai Menteri Besar. Mereka bukan sahaja memperlekehkan musuh-musuh politik di negeri itu, tetapi juga bersifat sinis terhadap Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang pernah mengandaikan nasib Ahmad seperti “buah nangka yang akan jatuh berdebuk.”

Apabila Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN tidak melantik Ahmad sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri, banyak yang berpendapat perjalanan Menteri Besar itu hampir ke penghujung. Bagi Ahmad dan para penyokongnya pula, pelantikan Hishammuddin merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima. Alasan mereka, Terengganu dimenangi oleh BN, maka adalah tidak wajar Ahmad selaku Menteri Besar tidak dilantik sebagai pengerusinya: “Kalau BN kalah lainlah.”

Justeru, mereka sentiasa men-cari kelemahan Hishammuddin, seperti sikap beliau yang nostalgik tentang Parti Negara pimpinan datuknya, Datuk Onn Jaafar yang pernah bertapak di Terengganu. “Itu zaman Parti Perikatan, kini zaman BN,” demikian antara hujah penyokong Ahmad. Program yang dibawa Hishammuddin ke negeri itu, seperti didakwa penyokong beliau, lebih merupakan program Pemuda UMNO yang tidak sesuai lagi dilaksanakan. Pendek kata, kehadiran Hishammuddin di Terengganu tidak ubah seperti “duri dalam daging.” Dari segi ini, Ahmad kurang bijak kerana mempersendakan Hishammuddin, tidak dapat tidak, tempiasnya akan terpercik ke Putrajaya.

Pada akhir tahun lalu tatkala kedengaran desas-desus tentang kedudukan Ahmad, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan bahawa beliau akan dilantik sebagai senator. Kedengaran juga “cakap-cakap di pekan” bahawa pucuk pimpinan BN mengemuka- kan dua nama kepada istana untuk memohon perkenan tentang pelantikan Menteri Besar yang baru menggantikan Ahmad.

Tetapi, khabarnya pihak istana tidak memperkenankannya, dan oleh itu, Ahmad kekal seadanya. Di kalangan ahli UMNO Terengganu pula, mereka beranggapan bahawa Ahmad kekal sebagai Menteri Besar hingga pilihan raya umum akan datang. Namun, ada yang berseloroh, “pada masa itu bukan sahaja Menteri Besar berubah, silap-silap kerajaan juga berubah.”

Bak kata orang tua-tua, “air tenang jangan disangka tiada buaya.” Demikian dengan politik Terengganu yang bergolak sejak Ahmad menggantikan Idris sebagai Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum Mac 2008. Dalam pelayaran yang kelihatan tenang itu, tiba-tiba muncul berita “New MB for Terengganu?” yang ditulis Honeymah Dylyani dalam sebuah penerbitan pada pertengahan Februari lalu. “Pentadbiran Terengganu di bawah Ahmad, tulis Honeymah, “dikatakan goyang, dengan puak dalam parti pemerintah itu mendesak dilantik Menteri Besar baru untuk menerajui negeri itu.” Honeymah juga memetik sumber dari negeri itu yang berkata, bahawa perubahan kepimpinan mungkin berkuat kuasa seawal minggu pertama Mac dan tiga nama telah dikemukakan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk pertimbangan.

Mungkin ada yang menganggap berita akhbar dalam talian sekadar spekulatif dan sensasi bertujuan mempersegarkan cerita yang kelihatan reda, atau kata orang Terengganu, “perhangat nasi dingin.” Namun, jangkaan itu agak meleset kerana Joceline Tan juga turut menyegarkan angin perubahan di Terengganu. Spekulasi tentang Ahmad akan digantikan bukan perkara baru.

Perjalanan politik Ahmad sejak memenangi pilihan raya kecil Kijal pada tahun 1990 dengan mengalahkan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang bertanding atas tiket Semangat 46, adalah penuh ranjau, boleh diibaratkan orang menunggang gajah. Pada saat-saat beliau akan dilantik sebagai Menteri Besar pun tidak kurang halangan terpaksa beliau hadapi. Namun, halangan dan cabaran yang beliau terpaksa hadapi sebagai Menteri Besar semakin besar, semakin berat kerana parti dan negeri menjadi pertaruhannya.

“Kapal dibina untuk belayar. Bukannya dibiarkan tersadai di pelabuhan.” Dalam tempoh dua tahun pentadbiran Ahmad, rakyat Terengganu seakan-akan merasakan negeri itu kehilangan hala tuju. Semasa Idris orang ramai sentiasa memerhatikan Terengganu untuk sesuatu yang perlu diteladani dari segi pentadbiran dan pembangunan.

Pada pertengahan 2007, seorang pegawai tertinggi kerajaan Persekutuan dengan yakin mencadangkan pegawai-pegawai kanan yang menghadiri kursus: “Perhatikan Terengganu dalam satu dua tahun ini.” Malangnya, kini segala-galanya “pergi bersama-sama angin lalu.” Jika ketika pemerintahan Pas antara 1999 – 2004 Terengganu berwajah muram, kini kemuraman itu mun-cul semula sebagai bayang-bayang yang mengerikan.

Dalam politik ada orang berkata “dalam sesuatu masa, seseorang itu tidak boleh mempunyai banyak musuh.” Petua ini nampaknya tidak cuba dipelajari Ahmad; seakan-akan beliau berasa selamat dan selesa dengan sokongan istana. Beliau gagal menjinakkan musuh politiknya, iaitu “10 budak hitam”; sebaliknya beliau mengheret persengketaan hingga ke tahap, perdamaian menjadi sesuatu yang mustahil sama sekali: “berpatah arang, berkerat rotan”. Pendek kata, musuh politiknya semakin banyak: Idris, “10 budak hitam” dan kini Hishammuddin.

Selain musuh politik, Ahmad juga melahirkan musuh pentadbiran. Pegawai Kerajaan Negeri itu dikatakan kurang bekerjasama dengan beliau. Keadaan diburukkan lagi dengan rombakan pentadbiran negeri. Walau apa pun alasan tindakan itu, pada tanggapan umum, wujud keadaan tidak harmoni antara Menteri Besar dengan pegawai Kerajaan Negeri. Meskipun politik Terengganu terus bergolak, namun Najib sejak menjadi Perdana Menteri lebih memperlihatkan sikap berdiam diri. Apa yang kedengaran sekali-sekala, kenyataan Timbalannya, Muh-yuddin Yassin. Banyak yang tertanya-tanya pendirian beliau berhubung kedudukan Ahmad.

Walau bagaimanapun, sesetengah pihak dapat merasakan bahawa hubungan antara kedua-duanya tidak berapa “ngam” atau tidak berapa harmoni. Mungkin secara kebetulan, hampir setahun sebagai Perdana Menteri, Najib belum lagi mengadakan lawatan rasmi ke negeri itu, kecuali beliau hadir untuk Piala Monson pada Disember lalu. Meskipun Terengganu bukannya seperti Sabah dan Sarawak – “simpanan tetap” tetapi tatkala BN tersungkur di beberapa negeri, BN masih menguasai negeri itu dengan majoriti dua pertiga! Demikian juga apabila Najib mengadakan lawatan ke luar negara – beberapa Menteri Besar atau Ketua Menteri daripada BN ikut serta – tetapi kelibat Ahmad tidak kelihatan.

Dua contoh ini sudah memadai ada sesuatu yang tidak kena antara Putrajaya dengan Kuala Terengganu. Pada pihak Ahmad, orang ramai dapat mengesani kelemahannya: daripada pembelian kereta Mercedes kepada wang ihsan dan kepada robohnya bumbung stadium, beliau bercakap dengan nada seperti Menteri Besar daripada parti pembangkang. Dalam kata lain, beliau cuba menunjukkan keberaniannya dengan mengabaikan kebijakan.

Tatkala angin perubahan disegarkan semula, Ahmad memperlihatkan dirinya sebagai “perniagaan seperti biasa.” Selepas pulang dari luar negara di tengah-tengah pergolakan politik, beliau mengumumkan bahawa bintang filem Bollywood, yang suara serak basah, Ranee Mukherjee dan beberapa selebriti India akan datang ke Terengganu pada Mei ini untuk penggambaran filem percintaan.

Lebih menarik lagi, beliau memaklumkan telah berjumpa dengan pengeluar filem tersebut, malah sudah membaca skripnya. Apakah daripada skrip filem Hindustan itu beliau dapat mempelajari sesuatu yang penting sebagai pedoman?

4 comments:

Anonymous said...

saya sebagai anak jati negeri Terengganu menyokong sepenuhnya jika MB Dato Ahmad Said Digantikan dengan yang baru... yang boleh memacu negeri ke arah yang lebih baik..... cepat2 lah tukar MB!

al-brangi said...

Dua2 Cap ayam

Anonymous said...

Orang luar rumah (PAS) lebeh tahu dari rumah tangga orang lain...ajaib bin ganjil...Islam ajar jangan burukkan lagi keadaan. Kalau boleh bantu kepada keadaan yang lebeh baik....nampak dah niat yang tak baik.... Islamikkah ini?....

Anonymous said...

al brangi ni bodo kali... jenis bodo sombong... dia ingat dia tu molek sangat...