Sep 12, 2009

Politik Terengganu, MB, Bekas MB dan akar-umbi...

KERUH alir politik Terengganu kembali membadai dan berombak kencang kebelakangan ini. Masalahnya hanya boleh diselesaikan oleh dua orang manusia iaitu, Idris Jusoh dan Ahmad Said sahaja. Bukan Perdana Menteri, bukan Timbalan Perdana Menteri dan bukan juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Kemelut berlaku di Terengganu kerana Idris Jusoh, sepanjang menjadi Menteri Besar Terengganu dan hanya “tersingkir” sebaik sahaja selesai Pilihanraya Umum Ke-12 yang lalu, telah berjaya menanam pengaruh yang kuat di kalangan akar-umbi Umno di negeri tersebut.

Idris Jusoh dikatakan pemimpin yang bagus dalam perancangan, berfikiran maju dan dengan kata lain, seorang yang kepala otaknya boleh dipakai, sekurang-kurangnya itulah pandangan ayah saya, seorang aktivis Umno tegar di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun, Terengganu.

Menariknya, dalam Umno diikat kuat dengan struktur budaya kepimpinan feudal, raja – pemimpin – rakyat, akar-umbi Umno seperti ayah saya ini, dek kerana kekaguman tinggi mereka terhadap kepimpinan Idris Jusoh, sanggup mengabaikan apa sahaja cakap-cakap atau bisik-bisik tentang masalah yang dihadapi Idris dengan raja dan istana.

Inilah yang sebenarnya memberi masalah kepada Ahmad Said selepas dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu.

Idris Jusoh sendiri, atau lain-lain pemimpin Umno negeri yang menyokongnya, sudah tentu akan mengalah kepada Ahmad Said jika mereka tidak mempunyai sokongan.

Nyatanya sokongan akar-umbi Umno terhadap Idris Jusoh memang kuat, apalagi Idrislah yang dikenang akar-umbi Umno sebagai pengemudi barisan hadapan Umno dan BN negeri memperoleh kemenangan besar dalam Pilihanraya Umum Ke-12, pada ketika negara dilanda tsunami politik yang tidak terjangka.

Ahmad Said, bagi kalangan akar-umbi Umno Terengganu, dilihat tidak lebih sekadar seorang wakil rakyat yang bekeng dan kelolor. Untuk berada di kerusi nombor satu negeri, orang seperti ayah saya akan cakap, “air kaki pun takdok,” maksudnya tidak ada bakat langsung untuk bergelar Menteri Besar.

Jauh bezanya dengan Idris Jusoh yang segak, karismatik dan pandai bercakap.

Masalah ini tidak akan selesai, tidak akan dapat diselesaikan selagi mana nama Idris Jusoh tetap terus mekar di bibir-bibir akar-umbi Umno Terengganu.

Selagi pengaruh Idris Jusoh tidak mampu dipadamkan, selagi itulah Ahmad Said akan terus dirundung kemelut.

Hantarlah siapa sahaja untuk melaksanakan operasi menyelamat, tetapi selagi kedua-dua tokoh ini tidak berjaya ditundukkan, sebesar manapun operasi itu, ia akan hanya menjadi sia-sia.

Awalnya, bagi mewujudkan suara tengah di antara dua pihak yang bertelagah ini, maka Hishammuddin dihantar ke Terengganu sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri.

Para pembaca sendiri dapat melihat kesudahannya sekarang, khabar angin yang sekumpulan Adun Umno mahu memboikot sidang Dewan Undangan Negeri malah kononnya mereka akan menyertai pembangkang selepas berjumpa dengan Anwar Ibrahim menandakan krisis Umno Terengganu masih membara seperti api di dalam sekam - di luarnya tak nampak tetapi di dalamnya membara.

Saya faham yang Hishammuddin dihantar ke Terengganu untuk menjadi orang tengah, tetapi dalam menjalankan tugas sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri, Hishammuddin terpaksa berhadapan dengan kedua-dua kumpulan ini.

Risiko yang lebih besar, yang berada di hadapan Hishammuddin ialah mungkin dari masalah yang hanya bersifat negeri akan terheret menjadi masalah Umno di peringkat nasional, bila pemimpin Umno pusat seperti Hishammuddin dilibatkan.

Ketidakupayaan sesiapa pun menyelesaikan krisis Umno Terengganu membawa kepada tawaran Timbalan Presiden Umno sendiri, Muhyiddin Yassin untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan apa sahaja masalah yang ada, ketika satu pertemuan dengan pemimpin Umno Terengganu di Hulu Terengganu diadakan baru-baru ini.

Malangnya pertemuan itu sendiri tidak menampakkan sebarang petanda positif memandangkan dua orang kuat kumpulan yang menentang Ahmad Said, iaitu Idris Jusoh sendiri dan Rosol Wahid tidak hadir.

Seperti yang saya katakan, sedikit kecenderungan bakal membuatkan keadaan bertambah rumit. Muhyiddin sudah tentu tidak mahu dilihat gagal dalam menyelesaikan masalah di Terengganu selepas beliau secara sukarela menawarkan diri untuk menjadi orang tengah.

Dalam keadaan yang dianggap sesetengah orang sebagai cemas ini, Muhyiddin sebenarnya masih ada pilihan. Saya telah mengatakan yang Idris Jusoh sendiri, atau pemimpin-pemimpin Umno Terengganu yang menyokongnya sudah tentu akan mengaku kalah jika mereka tiada sokongan, tetapi sebaliknya mereka mendapati sokongan akar-umbi Umno terhadap Idris Jusoh masih kuat.

Lalu, jika Muhyiddin hingga akhirnya gagal untuk menundukkan sama ada pihak Idris Jusoh atau Ahmad Said, ruang ketiga yang beliau boleh masuk adalah akar-umbi Umno Negeri Terengganu itu sendiri. Yang paling penting beliau mesti dilihat sebagai betul-betul orang tengah oleh golongan akar-umbi ini, tidak dilihat berpihak, apatah lagi untuk benar-benar memihak.

Cara yang ada ialah, tanpa melalui mana-mana salah satu pihak yang bertelagah ini, Muhyiddin melalui Sekretariat Khas Timbalan Presiden mungkin boleh mengelolakan secara terus sebuah konvensyen khas Umno Negeri Terengganu, sebuah konvensyen akar-umbi yang wajib dihadiri oleh semua ahli jawatankuasa bahagian.

Umno Terengganu tidak perlu merasa malu yang orang sedang mengetahui mereka dilanda masalah. Yang patut dibanggakan ialah Umno Terengganu sedang menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Konvensyen ini harus menjadi medan bina diri bagi membentuk kembali kesetiaan akar-umbi, terutama akar-umbi Umno Terengganu ini supaya dihalakan terus kepada kepimpinan tertinggi Umno.

Ajarlah akar-umbi Umno ini bahawa dalam Umno, hanya ada sebuah Majlis Tertinggi, hanya ada seorang Presiden, hanya ada seorang Timbalan Presiden.

Tidak gunalah mereka menyakitkan kepala tempohari untuk memilih Presiden dan Timbalan Presiden jika suara kedua-dua pemimpin ini tidak didengari. Tidak gunalah mereka bertungkus-lumus mengatur pilihan ahli Majlis Tertinggi jika keputusan Majlis Tertinggi tidak diikuti.

4 comments:

perfectwater75 said...

Salam,

Ulasan yang menarik..Salam Perkenalan.. Teruskan menulis...Kenapa dah tak jadi cikgu lagi?

Anonymous said...

memang ulasan yang menarik, saya suka baca semua artikel dari ctkays nie..... bleh berfikir mana yang baik dan buruk....... bukan jenis sesetengah orang yang berfikiran cetek.

Anonymous said...

Fikir saja tak buat... buat mender??? Ada ilmu tak buat dok rok cetong gokk....cerdik dokleh nok ikut, bodo dokleh nok ajor....gi mari gi mari tungging nyor.....Wallahhualam

Anonymous said...

jumud gitu molek ke?