Dimaklumkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi kini berada di Kota London, beliau bertolak kesana pada 11 jun 2009, selepas mesyuarat Ajk PAS Pusat kali pertama sessi 2009-2001.
Antara yang mengiringi beliau ialah Haji Asmuni( AJK PAS Pusat) dan Dr. Hj Samsuri(SU Politik Presiden) .Tuan Guru dijangka pulang ke tanahair pada 20 Jun 2009 untuk menghadiri sidang Parlimen yang sedang berjalan sekarang.
Ikuti lapuran program beliau disana yang dilaporkan oleh blog sdr Muhaimin Sulam bekas AJK Dewan Pemuda PAS Pusat yang berada disana menyambung pelajarannya.
1. Habis kerja jam 3 pagi, aku bersiap untuk ke London dengan isteri. Tolong isteri buat bekalan makan. Solat subuh sekarang pukul 3.30 pagi. Tak boleh tidur takut terlajak, kerana bas 6 pagi. Lebih 4 jam perjalanan, sampailah kami di Kota London. Makan tengah hari di tengah padang Hyde Park di bawah mentari cerah. Rehlah sebelum dengar kuliah. Sampai di Corus Hotel di Bayswater Road tempat program tersebut, rupanya kami orang pertama yang sampai. Wow semangatnya gue!
2. Menanti rombongan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, aku bersembang tidak kosong dengan beberapa orang yang hadir. Melayu, India, Benggali dan Cina pun ada. Semua datang dengan seribu satu soalan. Macam semua nak nasihat agar Presiden PAS itu berhenti bercakap tentang `Unity Government'. Bersungguh benar mereka. Naik gabra aku dibuatnya.
3. Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang berucap ringkas. Sebab beliau tahu, ramai yang datang bawa dengan soalan. Bukan datang dengan telinga atau kaki yang tak bermata. Pertama, sebagai pemimpin sebuah parti politik Islam, mesej beliau tidak boleh lari daripada Islam itu sendiri. Itulah juga yang dinyatakan oleh beliau sewaktu bertemu dengan Lee Kuan Yew sebelum berangkat ke London. Walaupun yang datang dalam majlis itu pelbagai kaum dan agama, Presiden PAS itu terus menyampaikan butir-butir al Quran sebagai asas ucapannya. Itulah yang dicakap samada dalam Pakatan Rakyat, Barisan Nasional ataupun yang tak tahu apa-apa tentang politik.
4. Kedua, Islam mengutamakan pembangunan insan tanpa menafikan keperluan ekonomi sebagai keperluan kesejahteraan hidup. Ilmu pengetahuan, tamadun dan keperibadian tinggi itulah yang mewujudkan kebijaksanaan manusia untuk hidup dengan saling bantu membantu, berhubungan antara satu sama lain. Manusia tidak boleh hidup sendiri untuk memenuhi keperluan mereka. Oleh itu Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud,
'kebijaksanaan adalah barang tercicir milik orang beriman'.
5. Kebijaksanaan itulah yang menjadikan kita berkongsi tamadun dengan tamadun bangsa dan agama lain. Tamadun China yang menemukan teknologi alat letupan dan kertas telah digunakan oleh dunia untuk membangunkan ketenteraan dan meningkatkan keselamatan mereka. Tamadun Yunani purba tentang pentadbiran seperti demokrasi digunakan oleh dunia untuk mengurus masyarakat dan negara. Manakala tamadun dan perkembangan sains dan ilmu pengetahuan di Baghdad dan Andalusia juga dimanfaatkan oleh dunia.
6. Kerajaan Islam memanfaatkan semua tamadun dunia untuk membangunkan masyarakat sehinggalah terdiri sebuah kerajaan yang kuat dan maju. Akhirnya, kerajaan Islam yang kuat dan maju itu sedikit demi sedikit meninggalkan Islam sebagai sumber kekuatan mereka. Kerajaan Islam menjadi zalim, menindas rakyat dan menyebabkan pemberontakan berlaku. Dari bangsa Quraish yang dianggap bangsa terkuat, telah berpindah kepada bangsa Kurdis, kemudian kepada bangsa Mogul. Inilah yang pernah disebut oleh Imam Mawardi tentang ciri kepimpinan yang ketujuh;berbangsa Arab Quraish. Bukanlah Imam Mawardi menyatakan hanya Arab Quraish mempunyai darah kepimpinan tetapi sebenarnya ia merujuk kepada kualiti kepimpinan semasa yang memiliki pengaruh luas.
7. Tuan Guru Presiden ada sebut istilah 16 Sep sepintas lalu. Terus kepala aku menangkap ada benda di sebalik itu yang beliau tak mahu ulas lanjut.Tetapi bagi aku penting. Namun barangkali, ada yang lebih penting mengapa beliau tak ulas.
8. Masyarakat mula naik angin bila perut mereka diganggu. Otak sudah letak bawah kaki. Masalah riba, rasuah, untung atas angin, monopoli, manipulasi dan sebagainya. Semua itu ditentang oleh Islam. Dalam menentang amalan riba, al Quran mengisytiharkan perang kepada yang mengamalkannya. Tapi riba adalah amalan lumrah dalam ekonomi. Mengapa manusia tidak menentangnya, sebab perut mereka masih terisi. Mereka tidak kisah kalau timbul masalah sosial sebab kerangka otaknya adalah perutisme. Ini istilah aku pinjam dari Dr. Siddiq Fadhil.
9. PAS mempunyai pengalaman yang luas dalam kerjasama dengan parti-parti politik pembangkang dan kerajaan. Kemuncak kerjasama PAS dengan bukan Islam adalah dengan mewujudkan Kelab Penyokong PAS. Kemuncak kerjasama PAS dengan Umno ialah mewujudkan kerajaan campuran (1971) dan Barisan Nasional (1973). Tiada parti lain seluas pengalaman PAS di Malaysia dalam soal ini. Ini aku cakap.
10. Kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat adalah atas prinsip yang sama. PAS terus dengan dasarnya dan menghormati dasar parti rakannya yang lain. DAP keluar daripada Barisan Alternatif pada 2001, kerana tidak bersetuju dengan konsep negara Islam PAS. PAS tidak pernah berhenti dalam perjuangan yang melibatkan dasar parti . DAP dan PAS sekali lagi bertemu dalam Pakatan Rakyat yang diwujudkan selepas PRU12 .
11. Akhirnya, Tuan Guru bercakap tentang `Unity Government' . Menurutnya, konsep tersebut timbul sewaktu zaman Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM. Dasar terbuka Abdullah terhadap institusi kehakiman, langkah pencegahan rasuah, keterbukaan kepimpinannya membuka ruang idea itu dikemukakan. Abdullah Badawi memang awalnya berminat tentang idea tersebut tetapi tekanan dalaman Umno akhirnya menyebabkan beliau terpaksa berundur dari jawatan PM.
12. Apakah itu `Unity Government'? Senang untuk difaham tetapi mengapa payah nak reti? Sebenarnya, inilah yang disebut sebagai `negara tanpa pembangkang' yang pernah diamalkan di UK selepas Perang Dunia, diperkenalkan oleh Nelson Mandela selepas menamatkan dasar apartied di Afrika Selatan dan sekarang diamalkan di Indonesia. Konsep ini berusaha untuk menamatkan perbalahan politik yang merugikan negara. Tiada kaitan langsung PAS masuk Umno seperti yang dihebohkan oleh media dan ramai ahli dan sesetengah pimpinan PAS. Media memang akan memanfaatkan setiap ayat yang boleh dimanipulasikan untuk kepentingan mereka.
13. Habis tu mengapa ramai ahli dan sesetengah pemimpin PAS menentang? Sebabnya mereka memahami konsep itu dalam zaman pemerintahan Najib Tun Razak. Tuan Guru Presiden jelaskan bahawa konsep itu tidak relevan di zaman Najib. Namun, Tuan Guru tidak menolak untuk berbincang dengan sesiapa termasuk Umno. Seperti juga PAS tidak pernah menolak untuk berbincang dengan DAP, PKR dan pihak lain. Memang ada perbezaan pendapat dalam Pakatan Rakyat. Sama juga dalam PAS. Perbezaan pendapat bukan pergaduhan. Itu lebihnya dalam PAS. Mereka ada kebebasan suara.
14. Sambil menuding jari kepada Tuan Guru Presiden, mamat itu bertanya macam-macam. Kurang ajar betul mamat ni. Lepas tamat majlis, mereka yang awal tadi tak puas hati dengan Tuan Guru nampaknya semakin jelas. Tiada jawapan yang skema dari Tuan Guru , tiada retorik atau janji politik kosong. Dia jawab dengan lurusnya sebagaimana ketika beliau menjawab soalan wartawan selepas muktamar. Bak kata Tuan Guru sebelum sesi soaljawab tu, yang boleh dijawab, dia jawab. Yang tak boleh, jangan temberang. Oleh kerana kami datang ingin mengetahui, kami faham. Kami dengar sendiri dari mulutnya. Sebaliknya jika yang datang nak mencari kesilapan, mereka akan buat berita yang mengelirukan orang.
15. Memang ada soalan yang tidak dijawab dan tidak menjawab pertanyaan. Bagi aku itu bukan isu sangat. Aku tak sempat nak sembang meski satu ayat dengan Tuan Guru selepas program tamat. Tapi aku sembang dengan Dr. Shamsuri dan Hj. Asmuni yang datang sekali. Agak tidak panjang. Nanti aku cerita kemudian
http://muhaminsulam.blogspot.com
No comments:
Post a Comment