Mar 22, 2011

PAS AJAK UMNO BERGABUNG

Pas pelawa UMNO Besut tumbang MB


JERTIH - Pas menyifatkan program Pas Ganti UMNO Kedua (PGU2) di Besut berbeza berbanding program sama yang dianjurkan di Chukai, Kemaman sebelum ini kerana UMNO di Besut lebih mesra berbanding UMNO Bahagian Kemaman.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib berkata, sehubungan itu, Pas mempelawa UMNO Besut dan penyokongnya bekerjasama dengan Pas untuk menumbangkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi UMNO negeri.

Menurutnya, UMNO Besut boleh bergabung dengan Yang Dipertua Pas Kawasan Besut, Wan Azhar Wan Ahmad untuk menumbangkan kepimpinan negeri sekarang.

“UMNO Besut bagi kerjasama baik, maka UMNO dan penyokong kalau boleh bergabung untuk jatuhkan Datuk Seri Ahmad Said,” katanya pada majlis perasmian PGU2 di belakang Masjid Hadhari Jertih di sini, semalam yang dirasmikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hadir sama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kepimpinan Pas negeri dan Pusat serta Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, semua ahli Pas perlu bersungguh-sungguh untuk menggantikan UMNO kerana parti lawan itu menolak Islam berdasarkan tindak-tanduk mereka selama ini.

“UMNO memperjuangkan ketuanan Melayu tetapi Pas memperjuangkan Islam. Kalau perjuang Melayu, apa kata kaum lain tetapi kalau pejuang Islam, ia dapat diterima umum,” katanya.

Menteri Besar Kelantan itu turut mendakwa UMNO lebih sesat daripada Ayah Pin kerana menghalalkan judi sedangkan al-Quran melarang perbuatan itu.

Dalam pada itu, beliau menegaskan akan memberi sokongan penuh sekiranya ada dalam kalangan orang bukan Melayu untuk menjadi Menteri Besar dengan syarat individu tersebut seorang yang 'reti' (faham) Islam, warak dan zuhud.

No comments: