Jul 21, 2009

ISA tiada kena mengena dengan Islam

Sempena Himpunan Hapuskan ISA 1 Ogos 2009










PRINSIP KEADILAN DALAM ISLAM

“Janganlah semata-mata kerana membenci suatu puak maka kamu tidak mahu melakukan keadilan. Adillah kamu dalam tindakan dan hukuman terhadap mereka kerana ia akan mendekatkan kamu kepada Allah s.w.t” – maksud al-Quran


Islam adalah agama yang mengutamakan keadilan. Salah satu daripada nama Allah s.w.t. ialah Al-Adlu. Allah itu maha adil. Maka agama yang diturunkan kepada umat Islam sudah pasti akan menjunjung tinggi prinsip keadilan.

Perinsip pertama yang disebut dalam al-Quran ialah prinsip keadilan mutlak. Iaitu keadilan yang dilaksanakan tanpa mengira kelompok manusia. Sama ada mereka beragama Islam atau pun bukan, semuanya dipandang sama.

Quran menyebut dalam satu ayat yang sangat besar ertinya kepada kita, yang maksudnya: “Janganlah semata mata kerana membenci suatu puak maka kamu tidak mahu melakukan keadilan. Adillah kamu dalam tindakan dan hukuman terhadap mereka kerana ia akan mendekatkan kamu kepada Allah s.w.t.”

Berdasarkan itulah maka Nabi Muhammad s.a.w. telah melaksanakan prinsip keadilan kepada masyarakat tanpa mengira sesiapa, sama ada mereka itu orang bawahan atau atasan. Satu ketika, berlaku satu peristiwa dimana seorang perempuan daripada suku bangsawan Quraisy telah meminjam harta barang-barang kemas sahabat-sahabatnya tetapi dengan sengaja enggan memulangkannya semula.

Diadukan kepada Nabi Muhammad kes itu, disiasat dan didapati benar perempuan ini telah melakukan satu kesalahan mengambil harta orang tanpa mengembalikannya. Nabi kemudiannya menghukum perempuan tersebut dengan hukuman hudud.

Mendengar itu, maka berlakulah satu usaha daripada kalangan bangsawan Quraisy untuk memujuk Nabi supaya menarik balik hukuman tersebut atas alasan menjaga nama baik golongan bangsawan. Mereka lalu mengutus Usamah bin Zaid untuk untuk berunding dengan Nabi supaya menarik balik hukuman tersebut.

Bila Usamah mengadap Nabi dan menyatakan tujuan itu, dengan tiba-tiba Nabi baik berang. Baginda marah dan terus menyampaikan ucapan yang terkenal. Kata Nabi: “Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang

sebelum daripada kamu kerana dasar keadilan mereka bila orang-orang atasan, bangsawan atau orang di kalangan yang berkuasa melakukan sesuatu jenayah, maka mereka memaafkannya tanpa apa-apa hukuman.

”Kalau orang-orang lemah bukan dari kalangan bangsawan atau minoroti yang melakukan jenayah itu, maka mereka segera melaksanakan hukuman hudud. Demi Allah ,sekiranya anak perempuanku Fatimah yang mencuri, aku sendiri yang akan potong tangannya.”

Inilah keadilan dalam Islam. Keadilan yang tidak memandang bulu, tidak memilih kes serta tidak mendahulukan sesuatu kes dan membelakangi kes yang lain. Jauh sekali untuk mengada-adakan kes yang tidak ada. Atau sengaja menghukum sesaorang itu dengan hukuman yang berat, direkaciptakan kes-kes, dipalsukan beberapa kenyataan dan keterangan hingga membolehkan kehendak mereka terlaksana.

Prinsip kedua yang Islam terima pakai ialah ‘yang menuduh hendaklah membawa bukti dan yang kena tuduh hendaklah menafikan dengan bukti-bukti yang sebaliknya.’

Dalam sebuah hadis disebut: “Keterangan dibebankan kepada orang yang mendakwa. Kalau tidak mempunyai bukti, sumpah diterima sebagai keterangan daripada orang yang dituduh bahawa dia tidak melakukan kesalahan itu. Atau dia boleh membawa bukti bagi meragukan keterangan-keterangan yang dibawa oleh orang yang menuduh.”

Hakim dalam Islam tidak campur tangan dalam hal pembuktian. Dia hanya mendengar siapa yang kuat hujahnya. Berdasarkan itulah hukuman akan dilaksanakan. Bukan dengan cara hakim bertindak sebagai pendakwa atau hakim bertindak lebih daripada pendakwa.

Di zaman Khalifah Ali bin Abi Thalib, berlaku satu kes dimana Ali telah kehilangan baju besi. Didapati baju besi itu ada dalam simpanan seorang Yahudi. Ali melaporkan ke mahkamah, diambil tindakan dan dibicarakan.

Yahudi ini menyangka bahawa tentulah dia akan kalah dalam kes ini kerana beliau seorang Yahudi. Yang membuat pertuduhan pula ialah seorang khalifah dan dibicarakan di depan seorang hakim yang dilantik oleh khalifah tersebut.

Dalam perbicaraan itu, Ali gagal membuktikan kepada mahkamah tanpa sebarang keraguan bahawa baju tersebut kepunyaan nya. Kata lelaki Yahudi tersebut, “baju itu ada pada aku, maka akulah yang ampunya”.

Akhirnya mahkamah memutuskan bahawa dakwaan Ali tidak sabit dan baju besi itu bukan kepunyaan Ali tapi kepunyaan Yahudi tersebut. Maka bersurailah majlis. Kemenangan diberikan kepada yahudi tersebut kerana bukti Ali meragukan dan tidak kukuh.

Yahudi yang pada mulanya meletakkan sangkaan bahawa dia tidak akan menang kes tersebut, telah menyatakan keadilan Islam itu mengatasi agama dan bangsa. Dia pulang semula kepada mahkamah dan berkata, “aku amat menghargai keadilan yang diberikan dan sekarang aku ingin mengaku apa yang sebenarnya.

”Sebenarnya baju ini baju Ali, aku ambil. Sengaja aku berbuat sedemikian untuk melihat keadilan dalam Islam.”

Kata hakim, “kami hanya menghukum berdasarkan yang zahir manakala yang batin, yang kami tidak lihat kami serahkan kepada Allah s.w.t.

Inilah contoh satu bentuk keadilan yang memuaskan semua orang. Walaupun untuk Yahudi kalau haknya jelas, maka Islam beri kapadanya. Undang-undang tidak digunakan untuk memuaskan nafsu pemerintah atau memuaskan nafsu orang-orang yang mendakwa.


BUKTI DAN PENYAKSIAN


“Manakala saksi yang diragui kebenarannya, yang rosak peribadinya, saksi yang ditohmah dan disabit melakukan perkara yang sumbang seperti saksi yang berkhalwat misalnya atau saksi yang disebut sebagai penzina misalnya, atau saksi yang dilihat dia tidak sembahyang misalnya, atau saksi perempuan yang tidak tutup aurat misalnya, itulah saksi-saksi yang fasik.”

Sebagai agama yang mengutamakan keadilan, Islam amat mementingkan bukti. Bukti adalah sesuatu yang menjadi asas keterangan perbicraan dalam Islam. Saksi adalah sebahagian daripada bukti.

Untuk para saksi, Nabi berikan satu prinsip yang cukup jelas. Kata Nabi “Mereka yang layak menjadi saksi tidak boleh enggan atau menolak peranan sebagai saksi.” Bila seseorang itu dipanggil oleh mahkamah atas nama saksi, beliau wajib hadir walau pun beliau sebagai ketua negara.

Ali pun terpaksa hadir ke mahkamah walau pun beliau seorang khalifah. Sesorang itu tidak boleh angkuh atau sombong, tak mahu hadir ke mahkamah. Manakala saksi palsu adalah satu perbuatan yang amat terkutuk, yang termasuk dalam tujuh perkara yang membinasakan manusia.

Nabi sebut dalam hadis yang bermaksud: “Ada tujuh kategori manusia yang akan mendapat perlidungan Allah s.w.t. pada hari mahsyar iaitu hari yang tidak ada padanya sebarang perlindungan, satu daripadanya ialah saksi yang adil, bukan saksi yang palsu.” Atau disebut juga sebagai perkara-perkara yang membawa dosa besar ialah saksi palsu.

Untuk orang yang menjadi saksi, Nabi berkata, “kalau kamu melihat kejadian itu dengan mata kepala kamu dengan terang macam kamu nampak matahari, maka berdirilah sebagai saksi. Kalau tidak jangan jadi saksi.” Saksi sebegini adalah saksi yang benar, berwibawa serta boleh diterima.

Manakala saksi yang diragui kebenarannya, yang rosak peribadinya, saksi yang ditohmah dan disabit melakukan perkara yang sumbang seperti saksi yang berkhalwat misalnya atau saksi yang disebut sebagai penzina misalnya, atau saksi yang dilihat dia tidak sembahyang misalnya, atau saksi perempuan yang tidak tutup aurat misalnya, itulah saksi-saksi yang fasik. Dan saksi yang sebegini tidak diterima dalam sebarang perbicaraan mahkamah Islam .

Mengapa Islam menolak saksi-saksi yang sebegini? Kerana dikhuatiri kalau dia tidak takut kepada hukuman Allah, maka dia juga tidak takut kepada hukuman manusia. Misalnya jika ada saksi yang disabit berkhalwat. Dia boleh melakukan kejahatan kepada Allah s.w.t., membuat maksiat, melanggar hukum Allah,tidak takut kepada siksaan Allah dan tidak takut neraka Allah.

Maka orang sebegini tidak takut kepada hukuman manusia dan tidak takut untuk memalsukan keterangan di mahkamah. Oleh itulah Islam menolak saksi jenis ini untuk menjaga supaya keadilan tidak boleh disangsikan.


PERTUDUHAN

”Manakala dalam kes zina atau liwat, sekiranya orang yang menuduh gagal membuktikan dengan empat orang saksi, maka hukuman atau senario ketika itu berubah daripada kes zina kepada kes qazaf. Bila sabit kes qazaf, maka mahkamah akan menghukum orang yang membawa kes itu dengan sebatan 80 rotan.”


Orang yang membuat pertuduhan dibahagikan kepada dua kategori. Pertama, tuduhan terhadap orang lain kerana hendak mengembalikan harta kepunyaannya atau kepentingan dirinya. Contohnya sesaorang menuduh orang lain mencuri harta kepunyaannya. Tujuannya ialah agar mahkamah boleh memutuskan supaya orang tersebut mengembalikah harta kepunyaannya.

Bagi pertuduhan seperti ini, orang yang menuduh mestilah mengemukakan bukti bahawa barang tersebut adalah kepunyannya seperti kes Ali bin Abi Talib. Sekiranya gagal dia rugi sahaja, selesai!

Yang kedua ialah tuduhan untuk mengenakan hukuman ke atas orang lain. Tuduhan seperti ini pula dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, tuduhan dalam kes-kes maal iaitu kes-kes harta atau kes-kes jenayah yang tidak melibatkan hudud.

Yang kedua tuduhan yang melibatkan kes hudud seperti menuduh sesaorang itu berzina, liwat dan sebagainya. Bagi kes pertama iaitu pertuduhan kes maal, kalau orang yang yang menuduh gagal membuktikannya, kes itu tidak sabit.Itu saja.

Berbeza bagi kes kedua iaitu kes yang melibatkan hudud. Contohnya, dituduh si polan itu melakukan zina atau liwat misalnya, maka mahkamah Islam akan meminta supaya orang yang membawa kes itu mengemukakan empat orang saksi yang u’dul.

Maknanya saksi-saksi yang tidak diragukan kesahihan mereka dan mereka nampak perkara itu benar-benar berlaku. Mahkamah akan bertanya kepada saksi sama ada saksi atau saksi-saksi itu nampak atau tidak kejadian itu berlaku seperti mereka nampak kayu celak masuk ke dalam botol celak.

Kalau tidak nampak, berlakulah keraguan. Kalau keempat–empat orang saksi nampak, maka sabitlah zinanya atau liwatnya dan yang dituduh itu akan dihukum dengan hukuman hudud iaitu sebat seratus rotan bagi yang belum berkahwin.


Manakala ditanam sehingga paras pinggang dan dibaling dengan batu sekiranya pesalah itu telah berkahwin. Ini hukuman Allah yang tidak ada campur tangan manusia. Redha hukuman ini kita jadi muslim,tak redha hukuman ini kita jadi engkar. Engkar boleh menjurus kepada kekufuran.

Manakala dalam kes yang sama, sekiranya orang yang menuduh gagal membuktikan dengan empat orang saksi, maka hukuman atau senario ketika itu berubah daripada kes zina kepada kes qazaf. Qazaf bermakna menuduh sesaorang itu berzina tanpa berjaya membawa empat orang saksi. Bila sabit kes qazaf, maka mahkamah akan menghukum orang yang membawa kes itu dengan sebatan 80 rotan.

Sesudah hukuman itu dijatuhkan, sesaorang itu tidak boleh lagi menjadi saksi dalam sebarang kes penyaksian selama-lamanya. Bila menjadi saksi pun tidak layak, gugur keahliannya sebagai seorang manusia yang sempurna. Maka dia tidak layak lagi hatta untuk bertanding dalam pilihan raya. Atas itulah maka Islam meletakkan satu asas bahawa yang menuduh itu hendaklah benar-benar pasti dan cukup saksi.


Berkaitan dengannya, timbullah isu kalau tidak cukup saksi maka ia boleh membawa kepada fitnah. Menuduh sesaorang berzina tanpa membawa empat saksi, bererti qazaf. Islam menetapkan demikian kerana tidak mahu membuka ruang fitnah. Jika tidak fitnah boleh berlaku dengan mudah.

Jika ini berlaku mungkin ada orang yang boleh diupah dengan sogokan kepentingan duniawi supaya mengaku di mahkamah atau di mana-mana balai polis mengatakan dia dirogol contohnya dan mahkamah boleh menerima keterangan oleh seorang saksi sahaja, maka itu tidak diterima oleh Islam kerana boleh mendedahkan kepada ruang fitnah.

Jika sabit fitnah, maka Islam telah menyediakan pembalasan yang setimpal dengan orang yang melakukan fitnah. Al-Quran menyebut dalam sebuah ayat yang bermaksud: “Mereka-mereka yang menaburkan fitnah, melakukan fitnah keatas orang-orang mukmin lelaki dan perempuan maka Allah sediakan bagi mereka itu dua seksa. Yang pertama azab neraka jahannam, dan (mereka jadi) bahan api neraka yang dibakar selama-lamanya.”

Atas itulah maka Islam meletakkan fitnah ini dalam kategori yang amat besar kesalahannya sampai disebut ‘fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh’.

KEZALIMAN ISA

“Kalau sebagai pemerintah, kalau kamu sebagai hakim, jangan kamu jatuhkan sebarang hukuman kepada orang yang datang kepadamu sebelum kamu dengar keterangan daripada kedua-dua belah pihak.” - Sabda Nabi.


ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah satu bentuk undang-undang yang membolehkan sesaorang itu ditahan tanpa bicara. Atau dengan lain perkataaan, kerajaan boleh menjatuhkan hukuman kepada seseorang tanpa perlu mengemukakan bukti dan tanpa perlu diadakan perbicaraan.

Kalau itulah yang maksudkan dengan ISA, maka ia jauh menyimpang dari makna keadilan yang digariskan oleh Islam. Sekaligus ia juga merupakan satu kezaliman yang dikenakan terhadap sesaorang itu tanpa memberi hak kepada beliau untuk mebela diri.

Islam telah meletakkan satu prinsip yang cukup jelas. Sabda Nabi dalam satu hadis sahih yang bermaksud: “Kalau sebagai pemerintah, kalau kamu sebagai hakim, jangan kamu jatuhkan sebarang hukuman kepada orang yang datang kepadamu sebelum kamu dengar keterangan daripada kedua belah pihak.”

Iaitu keterangan dari pihak yang mendakwa dan yang kena dakwa. Hak pendakwa ialah pembuktian. Hak yang kena dakwa ialah menafikan dengan menunjukkan bukti sebaliknya.

Itulah yang Islam pakai dan Islam tidak pernah kenal makna ISA. Dalam Islam tidak pernah ada peristiwa hukuman dijatuhkan ke atas yang dituduh tanpa perbicaraan dan tanpa keterangan. Islam tidak menerimanya kerana ianya merupakan satu kezaliman.

ISA juga merupakan satu alat yang boleh digunakan sewenang-wenang kerana ianya tidak boleh persoalkan dan orang yang dituduh mungkin teranaiya kerana fitnah tadi.

Kalau boleh difitnahkan sedemikian kepada orang dan boleh dipercayai fitnah itu kerana tidak ada perbicaraan, maka akan berleluasa kezaliman kepada masyarakat dan mereka itu terpaksa menerimanya atas nama ISA. Atas itulah maka kriteria kesaksian handaklah jelas. Orang yang kena tuduh itu disaksikan kesalahannya diberi peluang untuk membela diri. Jika dia bersalah, dapat dibuktikan kesalahannya. Jika dia benar, maka beliau dapat mempertahankan dirinya.

Islam menyatakan setiap orang yang dituduh itu pada prinsipnya tidak bersalah sehinggalah dibuktikan kesalahannya. Kalau seseorang rakyat boleh dihukum tanpa perlu mengemukakan bukti dan diadakan perbicaraan, maka ia telah menolak prinsip ‘the person itu innocent until proven guilty’.

Prinsip ini adalah prinsip sejagat dan terima pakai oleh negara-negara maju di ceruk dunia mana sekali pun. Dengan menggunakan ISA, bererti kita adalah negara yang paling mundur dalam sistem kehakiman.

Islam tidak menerima konsep undang-undang rimba,iaitu undang-undang yang berdasarkan siapa kuat dia yang benar, siapa yang berkuasa boleh berbuat segala-galanya. Prinsip Islam ialah sesiapa yang melakukan keselahan, dia akan menerima angkubah dari perbuatannya tanpa mengira pangkat atau kedudukan.



9 comments:

Anonymous said...

Nak mansuh ISA...???

anda tahu ke ISA-lah yang telah menyelamatkan negara ini dari dijajah oleh indonesia, dijajah oleh komunis, institusi raja dijatuhkan, rusuhan kaum dipatahkan, taksub agama dileraikan, melayu diselamatkan, cina india dijagai, keamanan negara dijagai, keselamatan negara dijagai..islam dijagai..awak sedar tak semua itu?

AdikManja said...

Pokoknya menjatuhi hukuman tahanan tanpa perbicaraan, tanpa dibuktikan bersalah adalah bercanggah dengan Islam.Sesuatu yang bercanggah dengan islam adalah haram.Sah disini jelas kita telah melanggari ketetapan Allah.

Budakmenerong said...

Ye saya setuju, tunjukkan ayat mana dalam Al-Quraan yang membenarkan seseorang ditahan tanpa bicara?

putrarahman said...

Salam, nak mansuhkan ISA. Kalau ada undang-undang yang boleh mencegah orang yang nak sabotaj dan memberikan ancaman kepada negara dan undang-undang itu menyatakan hari ini tahan besok jatuh hukuman dan tak ada jamin atau tangguh-tangguh, maka saya setuju ISA dihapuskan. Namun ada ke? kebiasaannya pembicaraan ambil masa lama, dan dalam masa tu, suspek nak disimpan dimana. Nak tahan kat penjara, penjara dah penuh, alih-alihnya mereka lari ke luar negara dan mengancam negara dari luar negara. Fikirlah sendiri...

Anonymous said...

Nak takut apa kalau tak buat salah..ya dokk????orang yang salah aja yang takut dengan hukuman. Sama juga dengan hudud..nak takut apa kalau dok buat dosa....

Anonymous said...

Dah tu yang tuduh datuk najib terlibat dengan al-tantuya guana cerita pulakk ( bukan nak membela ) ....ada saksi ke?...cukup ke bukti2nya...kes SU exco Selangor guana cerita pulok? Ada tuduhan juga tu....Tak campur lagi tuduhan orang2 umno ni Kapir...Jawab Puan siti jawab....

Anonymous said...

Ya gookk....hok wahid endut tuduh orang lebih teruk dari yahudi tu guaner ceriter pulopp...layok ke jadi pemimpin...siak menang agi piliham raya kecil..dok pahang ahh kawang gining....Macammana orang yang seperti itu benar2 adil dalam melaksanakan hukuman ( jika diizinkan Allah terlaksana hukuman hudud jika PAS menguasai negara ). Puan siti kena jawab laa...bukan sedak cakkak aja...Kena pikir blaka tuu....dok pong Puan siti jawakk...

penawarrindu said...

Elok lah tu yang tuduh tu dibawa ke mahkamah, kalau najib ke siapa ke tak bersalah hukum je lah yang buat tuduhan. Isk....benda mudah macam ni pun tak terfikir?????

penawarrindu said...

Masalahnya, kenapa tak dakwa orang tuduh najib tu......atau takut banyak orang tahu benda benda orang tak tahu selama ni....hehehe....