Mar 27, 2009

Presiden PAS cabar Najib saman Akhbar Luar

Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan saman terhadap media cetak dan internet antarabangsa yang menyiarkan berita mengaitkan Timbalan Perdana Menteri itu dengan pelbagai kes rasuah dan jenayah.

Presiden Pas itu berkata, tindakan saman itu perlu supaya imej Malaysia yang tercalar akibat berita yang sangat memalukan dapat dipulihkan.

Menurutnya, jika tindakan saman tidak diambil, maruah dan masa depan negara akan menjadi bahan momokan masyarakat dunia.

"Saya cabar kepimpinan negara supaya mengambil langkah berani dengan memulakan tindakan menyaman akhbar Liberation berpangkalan di Perancis, The New York Times, International Herald Tribune, Times Online.

"Tindakan sama juga perlu diambil terhadap The Times of India (India), The Australian (Australia), Kompas (Indonesia), The Nation (Thailand) dan NineMSN (berita internet antarabangsa)," katanya.

Tuan Guru berkata, ketika ini seluruh rakyat menyaksikan satu lagi episod perubahan kepimpinan bagi Malaysia dan perubahan kepimpinan ini juga adalah merupakan sejarah yang akan dikenang.

"Ianya kerana perubahan berlaku terhadap barisan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang memegang tampuk pemerintahan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, perubahan tersebut adalah bukannya hal dalaman UMNO dan BN semata-mata, tetapi ianya turut memberi kesan seluruh rakyat.

Tambah beliau lagi, Pas berpendapat kepimpinan merupakan amanah besar dan ianya wajib dipikul orang yang bukan sahaja layak dan adil, tetapi juga perlu dilihat bersih amal perbuatannya.

Sebagai rujukan :

LONDON, 22 Oktober: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang Jumaat lepas telah memenangi kes saman ke atas Daily Mirror, sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris berhubung kes laporan palsu ke atas beliau.

1 Mei yang lalu Daily Mirror di dalam akhbar dan juga web mereka, secara terang-terangan menyiarkan gambar Datuk Seri dan mengaitkan beliau sebagai perancang beberapa siri pengeboman di United Kingdom termasuk sebuah pusat membeli-belah di Kent.

Beliau juga telah dituduh sebagai orang ketiga dalam pertubuhan Al-Qaeda, dan sedang di tahan di Guantanamo Bay.

Mahkamah 19 Oktober telah di beritahu bahawa, Daily Mirror telah mengakui kesilapan di atas laporan palsu tersebut dan telah menyiarkan permohonan maaf tersebut di akhbar dan web mereka.

Mereka juga bersetuju untuk membayar segala pampasan dan yuran guaman yang ditanggung oleh pihak Abdul Hadi.

Abdul Hadi telah di wakili oleh peguam Adam Tudor dan Mohamed Hanipa Maidin sebagai peguam di Malaysia.

Abdul Hadi telah merakamkan rasa gembiranya selepas perbicaraan dan menyifatkan tuduhan yang mengaitkan dirinya dengan aktiviti Al-Qaeda sangat menjejaskan imejnya sebagai tokoh gerakan Islam yang memilih demokrasi sebagai jalan perjuangan.

Dengan kemenangan kes ini, membuktikan PAS komited dengan keamanan dan bersedia mengorak langkah dalam isu dialog Islam dan Barat, kata Abdul Hadi.

Laporan oleh Zulk Jay, London

No comments: