Jul 17, 2010

Krisis Umno Terengganu sah belum pulih.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kecewa apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahagian Setiu tidak hadir pada mesyuarat perwakilan UMNO bahagian berkenaan, semalam.

Sambil beranggapan perkara itu mungkin mempunyai sebab tertentu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berharap sekiranya wujud masalah ia perlu diselesaikan segera.

“Empat wakil rakyat tak hadir, saya berdukacita jugalah bukan sebab apa, saya tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam soal politik.... ada Timbalan Ketua Bahagian tidak hadir, Naib Ketua Bahagian tidak hadir..... sebagai Timbalan Presiden UMNO saya rasa agak kecewalah.

“Mungkin ada sebab tertentu ataupun mereka ada masalah berhubung kait dengan penjawatan dan kepimpinan. Apa pun saya tidak hendak ulas panjang, yang saya hendak tekankan, isu dan permasalahan yang timbul sesama kita perlu diselesaikan dengan bijaksana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiu yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana, di sini, semalam.

Muhyiddin mengulas perkara itu selepas dimaklumkan mengenai ketidakhadiran empat ADUN di kawasan tersebut melalui ucapan Ketua UMNO bahagian, Datuk Mohd Jidin Shafie.

Empat ADUN yang tidak hadir ialah Asha’ari Idris (Langkap) yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Khazan Che Mat (Batu Rakit) yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian, Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian dan Ramlan Ali (Jabi).

Ketidakhadiran empat ADUN terbabit turut menimbulkan tanda tanya bukan sahaja kepada perwakilan lain, tetapi juga dalam kalangan orang politik di negeri ini yang menganggap krisis dalaman di bahagian berkenaan belum selesai.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang jug ADUN Jertih.

Selepas merasmikan majlis berkenaan, Muhyiddin kemudian memotong kek sempena sambutan Jubli Perak UMNO Bahagian Setiu diiringi Idris serta Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang mewakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.


- PAS kawasan Setiu : Bola sudang tanggung, apa lagi.

No comments: