May 7, 2010

Orang Hulu mula celik Politik

Pembangkang percaya peluang untuk menawan semula negeri ini terbuka luas, apabila rakyat dikatakan sudah celik politik ke arah memastikan perubahan besar berlaku pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT), Mohd Nor Hamzah berkata, senario itu kini berlaku di hampir semua kawasan, bukan sahaja bandar, malah meliputi penduduk di luar bandar.

Beliau berkata, dalam perkembangan terbaru, pihaknya berjaya mengutip dana yang boleh menampung pembinaan sebuah markas Pas di Tengkawang yang dikatakan kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Semasa mengadakan ceramah di Tengkawang, kita mendapat dana yang banyak untuk membina sebuah markas di kawasan itu. Tengkawang dalam DUN Telemong adalah kawasan kuat UMNO,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, rakyat yang ditakrifkannya sebagai celik politik dikatakan benci pada sikap UMNO yang melakukan ugutan bagi meraih undi, selain membazirkan wang rakyat.

Mohd Nor turut yakin bahawa mereka tidak akan tertipu terhadap rancangan parti kerajaan yang akan menggunakan agenda pembangunan dan menurunkan jentera kerajaan setiap kali berlangsungnya pilihan raya.

Sehubungan itu katanya, Pas sedang melaksanakan usaha penerangan kepada masyarakat secara berterusan.

Menurutnya, antara penjelasan tersebut termasuklah isu penyelewengan di negeri ini dan kegagalan kepimpinan kerajaan untuk mengembalikan hak rakyat seperti tuntutan royalti minyak.

“Kalau diikutkan, kita memang tidak mampu untuk bersaing dengan UMNO kerana mereka mempunyai jentera yang begitu besar, tetapi kita akan laksanakan sedaya mungkin,” katanya.

No comments: