Apr 22, 2011

Kerajaan PAS Kedah sanggup urus UUM

Kerajaan Negeri mencabar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyerahkan Universiti Utara Malaysia (UUM) sekiranya pengurusan universiti berkenaan tidak mampu mengurus kewangan universiti itu dengan baik.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, cabaran itu dibuat berikutan dakwaan UUM yang mempertikai pembayaran cukai tanah bernilai RM1.7 juta, hingga timbul persepsi bahawa Kerajaan Negeri menaikkan cukai tanah sebanyak 10 kali ganda.

“Ini bukan soal naikkan cukai tanah, kerana nilainya kembali pada asal setelah tempoh rebat tamat. Jika mereka tak mampu urus, kita bersedia ambil alih kerana kita yakin mampu urus UUM dengan sumber kewangan yang ada,” kata kepada Sinar Harian.

Menurutnya, UUM atau Kementerian dialu-alukan untuk berbincang mengenai pembayaran cukai tanah malah pihaknya bersedia bertolak ansur dalam hal ini, antaranya menawarkan bayaran ansuran dan sebagainya.

“Sejak dua tahun lalu, mereka boleh bayar tetapi sekarang kecoh pula, apa motif mereka sebenarnya,” katanya.

Azizan berkata, cukai tanah di Kedah adalah terendah setelah Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah memperkenalkan dasar baru penurunan cukai tanah antara 35 hingga 75 peratus sejak tiga tahun lalu.

“Sejak dasar baru cukai tanah diperkenalkan, Kerajaan Negeri hilang hasil tanah sebanyak RM50 juta. Takkan pula selepas tiga tahun, nak naikkan pula. Saya harap pihak terbabit faham istilah mengekalkan atau menaikkan cukai tanah kerana fakta awal tak tepat,” katanya.

Menurutnya, KPT harus menyalurkan peruntukan secukupnya kepada UUM sama ada untuk pembayaran cukai tanah atau menaikkan taraf infrastruktur saluran paip atau membina tangki air berkapasiti tinggi untuk mengatasi kemelut di universiti terbabit.

Sebelum ini, Azizan memaklumkan bahawa keluasan tanah milik UUM adalah 872 hektar dan cukai yang perlu dibayar oleh Kementerian ialah RM1,743,745 setahun atau 20 sen bagi satu meter persegi.

Namun setelah Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) ketika itu memberikan rebat selama dua tahun, iaitu dari 2006 hingga 2008, UUM hanya perlu melunaskan cukai tanah sebanyak RM100,000.

Dari Blog Nik Mohammad Abduh

Salam Palestin,

Saya terlewat dua hari. Baru sekejap tadi jengok Malaysian Insider cari berita pasal Prof Dr Abdul Aziz Bari kritik Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang untuk ke sekian kalinya.

Tapi dah ada tiga berita rupanya. Kelmari dulu beliau kritik lalu semalam dikritik pula oleh para pemimpin PAS dan hari ini beliau datang lagi mempertahankan kritikannya itu. Ini saya tulis ini kira himpun yang tiga-tiga tu jadi satu.

Terima kasih Prof Aziz kerana kritik. Tahniah Dewan Pemuda PAS Wilayah kerana ‘mengamuk’ dan terima kasih sekali lagi kepada Prof Aziz kerana melarang mereka yang muda-muda itu daripada mengamuk. Antara pantang larang orang-orang akademik ialah tidak boleh mengamuk. Mengamuk tanda tidak akademik dan ilmuan. Nasib baik mereka dah habis belajar di universiti. Jika tidak Prof Aziz akan anggap mereka mahasiswa yang tidak akademik dan berilmu.

Di universiti sekarang, yang terlebih mengamuk ialah kumpulan pro pembangkang. Adapun mahasiswa yang pro kerajaan mereka tidak buat perangai mengamuk. Mereka pada sisi pandang Prof Aziz Bari adalah lebih akademik dan ilmuan. Inilah masalah pembangkang, asyik melahirkan penyokong yang mudah mengamuk. Tak puas hati sikit mengamuk. Dikritik sikit, mengamuk. Mengkritik pun mengamuk.

Tapi saya pula ucap tahniah pada rakan-rakan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Bukan hanya kerana mempertahankan balik presiden mereka, tapi kerana mereka dianggap pengamuk oleh Prof Aziz. Saya tak fikir mereka rasa mereka sedang mengamuk semasa tindakan mempertahan itu berlaku. Hanya apabila Prof Aziz kata jangan mengamuk, baru mereka sedar tindakan mereka adalah amukan kepada Prof Aziz di mata Prof Aziz sendiri.

Jadi tindakan mereka cukup berkesan sehingga dianggap satu amukan oleh seorang bertaraf ilmuan dan akademik. Itu bukan calang-calang. Jadi saya fikir kena ucap tahniah kepada rakan-rakan saya itu. Saya sendiri memang tak boleh mengamuk dah. Dah dua hari terlewat. Mengamuk bukan boleh buat-buat, apatah main tangguh-tangguh.

Untuk pengetahuan, baru- baru ini saya tengok di TV ramai orang mengamuk di Mesir dan Tunisia. Hasilnya tumbanglah kedua-dua kerajaan yang sedia ada. Dengar kata, kerajaan tersebut sebelum itu tak suka rakyatnya mengamuk, malah menyekatnya. Nampaknya, mengamuk ini tidak disukai oleh orang-orang akademik seperti Prof Aziz Bari dan kerajaan yang zalim seperti Husni Mubarak.

Tetapi di sisi orang-orang berilmu di medan kehidupan dan perjuangan, oleh kerana sifat amuk itu berakar semulajadi dan tabie sifatnya, apatah di kalangan orang-orang Melayu mengikut kata orang putih, mereka telah menjadikannya satu aset penting memacu perjuangan dan kejayaan. Di Mesir tadi contohnya, amukan rakyat marhaen dan anak-anak muda itu telah disusun dan ditarsyidkan dengan sempurna oleh orang-orang berilmu yang berbakti di medan kehidupan dan perjuangan. Dikatakan, para ulama banyak memainkan peranan besar mengurus kerja-kerja tarsyid terhadap amukan rakyat tersebut sehingga membuahkan hasil yang diinginkan oleh semua termasuk Prof Aziz sendiri, iaitu kemenangan menumbangkan kezaliman. Para ulama tersebut walau bagaimanapun, sepertilah tuan guru presiden, biasanya dianggap lembap, kurang strategi dan terlalu ukhrawi dan kurang duniawi.

Mungkin kerana itulah saya gembira dengan ‘amukan’ pemuda Wilayah itu. Ini kerana mereka mengamuk mempertahankan ulama. Oleh kerana ulama ini kerja besarnya adalah tarsyid dan mengurus kebangkitan umat, maka saya yakin pemuda Wilayah, bahkan seluruh pemuda PAS akan sentiasalah amukan mereka itu terurus dengan baik kerana sentiasa diurus para ulama yang dipertanggung jawab oleh Allah untuk mengurus umat Islam sampai bila-bila selagi tak kiamat.

Tapi, Prof Aziz Bari tak boleh mengamuk. Pertama beliau tak suka orang mengamuk, maka mana boleh dia memgamuk? Kedua, jika beliau mengamuk tak ada ulama atau sesiapa pun boleh uruskan dia. Lihat saja dua tahun lepas, beliau telah mengamuk dan amukannya tak henti-henti sehingga datang mursyidul am PAS mengarahkan sebuah muktamar tergempar parti PAS untuk ‘menyelesaikan’ amukan Prof Aziz itu. Susah habis segala orang bila amukan tiada tarsyid berlaku.

Mungkin Prof Aziz Bari tak merasa pun dia mengamuk pada masa itu, tetapi saya dan ramai melihat dia telah mengamuk. Samalah seperti Prof Aziz anggap pemuda PAS Wilayah mengamuk hari ini sedangkan mereka tak rasa pun mereka sedang mengamuk.

Untuk pengetahuan, orang mengamuk secara umumnya memang tak sedar dia mengamuk. Kita hanya boleh melarang orang mengamuk selama mana kita sendiri tidak dalam dunia amukan.

Kemudian, Prof Aziz Bari nampaknya begitu bersyukur PAS kalah di Beting Maro, Sarawak dalam pilihan raya negeri itu baru-baru ini. Agak lama beliau tidak memiliki peluru buat membedil tuan guru presiden. Bayangkan jika PAS menang, peluru itu pasti bertukar menjadi peluru plastik. Prof Aziz akan bungkam atau jika dia mahu menembak juga dia akan berkata, sepatutnya PAS menang di dua atau tiga kerusi yang ditandinginya atau PAS sepatutnya bertanding di seluruh DUN majoriti Islam! Ha, keplastikan sangat peluru itukan. Maka mari bersyukur PAS kalah di Beting Maro..

Kemudian, Prof nampaknya terus mengagumi dan meratapi pemergian almarhum Dato Fadhil Nor. Seolah-olah beliau berkata, oh, kalaulah almarhum masih hidup, bla bla..

Saya pula lain. Bagi saya nasib baik beliau telah pergi menemui kekasihnya yang hakiki itu. Kerana ‘jikalah’ beliau hidup, siapa pula akan memimpin Pakatan Rakyat? Fadhil Nor atau Anwar? Saya naik bimbang pula bahawa Prof Aziz pada masa itu akan menghentam Anwar pula semacam RPK lakukan atau mencincang lumat almarhum Dato Fadhil Nor sambil berkata, “Kamu ni menyusahkan, sepatutnya kamu telah mati 10 tahun lepas lagi.” Bahasa orang mengamuk mana boleh agak?

Jadi, bagi saya, ketiadaan almarhum yang telah dipilih awal oleh Allah itu adalah kebaikan untuk semua. DSAI selesa memimpin PR dan Prof Aziz pula selesa melibas sana sini, wassana wassini.

Akhirnya, bagi saya, presiden PAS adalah liabiti jika;

Pertama, jika beliaulah yang telah mengumumkan Baru Bian sebagai bakal Ketua Menteri Sarawak dalam PRN Sarawak baru-baru ini yang telah menyebabkab PBB memperolehi undi swing Melayu Melanau Islam di sana dengan mudah dan percuma yang menyebabkan PAS apatah PKR sendiri kehilangan banyak undi.

Kedua, jika beliaulah yang mendesak MB Kelantan agar mengekalkan
larangan premis jualan untuk judi loteri yang mencetuskan kemarahan DAP, MCA, kaki judi dan sebahagian non muslim lelaki (wanita mana suka suami berjudi?).

Ketiga, jika beliau tidak suka Prof Aziz Bari mengkritiknya.

Jika tidak, maka tidaklah. Jadi, nasihat saya, teruslah mengkritik dan teruslah mengamuk. Kedua-duanya adalah bukan liabiliti buat PAS dan para ulama rabbani.

Apr 21, 2011

Presiden Sedia Berundur ?



"Bagi jawatan Presiden sendiri, jika ada pencalonan yang diterima oleh pemimpin lain untuk menentang saya, saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya pun bukan untuk menjadi pemimpin selamanya. Sebaliknya, saya sendiri pun dah semakin berumur dan memang memerlukan barisan pelapis,"
-TUAN GURU HJ ABDUL HADI AWANG-

Apr 20, 2011

Prof Aziz Bari sangat tidak pro

Salam semua, membaca jawapan balas Aziz bari kepada Pemuda Wilayah jelas menunjukkan bahawa beliau tidak pro. Kenapa saya berkata begitu? Beliau menjawab balik jawapan pemuda Wilayah malahan dengan penuh emosi, beliau perlu ingat bahawa itu hak pemuda Pas Wilayah mempertahankan pemimpin mereka. Mereka tidak mahu pemimpin di keji oleh orang yang bukan ahli, nampak macam penyokong tapi bukan penyokong.

Sepatutnya Aziz Bari kena belajar dari Tuan guru Hj Abdul Hadi, yang sedikit pun tidak menyentuh atau menjawab sebarang tuduhan yg dibuat oleh Aziz Bari, tapi Aziz bari sendiri jelas melenting dengan jawapan balas oleh Pemuda Wilayah.

Aziz membandingkan gerak kerja PAS dan DAP di Sarawak, beliau mendakwa sepatutnya Pas menang di Beting Maro . Beliau perlu melihat keputusan secara menyeluruh mengikut Saluran dan tempat mengundi. Barulah beliau sepatutnya mengulas kekalahan PAS di Beting Maro. Soal dakwaan beliau bahawa Pas tidak membuat kerja awal di Beting Maro spt DAP, saya rasa Aziz bari kena check dengann YB Wan Rahim YDP Pas Kota Bharu. Apa yang telah mereka lakukan di Beting Maro sejak 2000 dulu lagi.

Suka diperjelaskan kpd Aziz Bari peti undi Beladin di Beting Maro pada tahun 2001 dan 2006 pas telah mengusai nya dengan memenangi Peti undi tersebut, sebagai makluman peti undi tersebut adalah makoriti pengundi Melayu malanau. Pada pilihanraya lepas Pas tewas di peti undi tersebut. Kenapa, ini kerana pengundi Melayu malanau di situ telah terhasut oleh mainan psykologi BN yang sekiranya Pakatan menang maka Baru Bian akan menjadi KM Sarawak, maka tersentak pengundi melayu disitu.

Aziz membandingkan PAS dan Dap tetapi tidak memasuki sama dalam perbandingan tersebut PKR , PKR bertanding 43 kerusi dan menang 3, bermakna kalah 40. Pas hanya 5. PAS tahu kekuatan di Sarawak, Pas tidak gila kerusi , Pas tahu meraka tidak punya ramai calon di sarawak. Ini tidak sudahlah tiada calon hendak juga kerusi yang banyak dan selepas menang maka melompat lompat meninggalkan parti, dalam kes lompat mengapa tidak dibuat perbandingan dgn PAS dan PKR dan DAP?

Akhirnya sebagai muslim suka kita mengembalikan kepada sandaran sejarah perjuangan Rasulullah. Adakah Rasullah meletak jawatan atau di pecat selapas tewa dalam peperangan Uhud?

Tok Guru Nik Abdul Aziz Jawab Prof. Aziz Bari

Saya diminta oleh pihak media untuk memberikan respon terhadap kenyataan seorang pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang ditukar ekoran kekalahan PAS di Terengganu pada tahun 2004 dan juga kekalahan PAS di dalam siri beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini termasuk juga kegagalan PAS merebut sebarang kerusi di dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.

Pertama saya ingin menyatakan bahawa Dr Abdul Aziz Bari selaku seorang warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS.

Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding di dalam pilihanraya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihanraya. Justeru, ini merupakan hak Dr Abdul Aziz Bari untuk mengeluarkan pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik.

Namun, perlu saya ingatkan, PAS mempunyai kaedah-kaedahnya yang tersendiri untuk memilih pemimpin. Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihanraya adalah satu langkah yang kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihanraya.

Sememangnya memenangi pilihanraya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihanraya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi. Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS.

Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar? Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar? Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT.

Sekian, wassalam.


YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan Darul Naim.

Bertarikh : 20 April 2011 M / 17 Jamadil Awal 1432 H

Minta Nasrudin pertahan jawatan





Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu mencadangkan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan mempertahankan jawatan yang disandangnya ketika ini dalam pemilihan Muktamar Pas ke-57, Jun ini.

Ketuanya, Mohd Nor Hamzah berkata, keputusan tersebut diambil kira berdasarkan cadangan dan pandangan di peringkat Pemuda Kawasan di seluruh negeri ini.

Menurutnya, cadangan tersebut cuba mengekalkan Nasrudin sebagai Ketua Pemuda, sekali gus membuka peluang kepadanya untuk meneruskan kepimpinan sedia ada pada penggal berikutnya.

“Beliau lebih sesuai meneruskan kepimpinan pemuda dan meneruskan gerak kerja terutama dalam merealisasikan agenda Pas Ganti UMNO,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Kata Mohd Nor, rasionalnya pemuda sedang bergerak untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kita mengekalkan yang sedia ada kerana kalau berlaku perubahan, kita lihat agak sukar untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat yang kini disandang Azman Shapawi Abdul Rani, be-liau berkata, pihaknya menyerahkan keputusan tersebut kepada perwakilan, begitu juga dengan jawatankuasa lain.

Mohd Nor bagaimanapun berharap mana-mana pihak yang dipilih untuk mengisi jawatan lain di peringkat jawatankuasa Pemuda Pas Pusat supaya bekerjasama dalam memastikan keutuhan gerakan Pemuda.

“Kita berharap gabu-ngan kepimpinan yang dilantik pada masa akan datang dapat meneruskan agenda penting untuk mendekatkan anak muda dengan semangat perjuangan Pas melalui ‘Orang Muda Geng Kita’,” katanya.

Mar 29, 2011

NAZRI BUTA UNDANG2






Menteri Ini terus membuta undang-undang, kalau sebelum ini beliau menyatakan Trio T tidak salah menyimpan dan mempromosikan video lucah yang di arah dan diterbitkan oleh Umno kini sekali lagi Nazri membutakan undang-undang. Kali ini beliau membutakan undang-undang akta pilihanraya dengan membenarkan ( menhalalkan) sogokan semasa pilihanraya sebagai bukan rasuah.


Kita tunggu apa kata Pengerusi SPR, membutakan mata oleh Nazri kah? Kenapa kita lupa dengan akta pilihanraya? Buta, buta, buta. Apakah undang-undang itu jadi terbatal apabila ianya dilakukan oleh Umno/BN? Jadi apa sudahnya dengan perlembagaan negara? Apakah umno/BN mahu negara ini menjadi seperti Mesir barulah hendak sedar dan berubah? Kesabaran rakyat juga ada batasanya. Kesabaran kakitangan Kerajaan juga ada batasnya, ketaatan polis dan askar juga boleh terhakis sekiranya Umno/BN berterusan melanggar undang2 negara ini.

Mar 26, 2011

Pakatan Terengganu desak tahan ‘Datuk T’

Pakatan Rakyat (PR) Terengganu mendesak trio ‘Datuk T’ ditahan dan disiasat berhubung pendedahan mereka mengenai video salah laku video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Dewan Pemuda Pas Terengganu, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata polis hendaklah menyiasat penga-kuan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Abdullah.


Menurutnya, perlakuan kumpulan tersebut yang mendedahkan perkara sedemi-kian dianggap tidak bertanggungjawab dan memalukan.

“Kalau mereka tidak ditahan, kita melihat mereka mencabar kredibiliti PDRM dengan begitu mudah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat laporan mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, jam 11.30 pagi, di sini, semalam.

Laporan tersebut dibuat kerana menganggap ia tidak pernah dibuktikan kesahi-hannya dan dikatakan bertentangan dengan Seksyen 292 Kanun Keseksaan, Seksyen 5 Akta Penapisan Filem dan Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Turut hadir Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Heng, Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Rosli Abdullah, Ketua PKR Cabang Kuala Terengganu, Abdul Ghani Muda dan Ketua Wanita PKR Cabang Kuala Terengganu, Rozita Ismail.

Rosli berkata, pihaknya turut mendesak supaya tokoh agama dan mufti memainkan peranan terhadap perkara itu.

“Kita minta mereka meneliti perkara ini kerana melihat seolah-olah hukum diperdagangkan dan dijadikan isu di kedai kopi.

“Dari segi perundangan Islam, ia memberi kesan cukup tidak baik kerana perkara yang berlaku itu amat rendah maruahnya. Kita minta ia disiasat dan ditangkap supaya kita boleh tahu apakah motif sebenarnya,” katanya.

Ng Chai Heng yang turut menyokong perkara itu juga berkata, perkara itu perlu dipandang serius memandangkan ia tindakan sengaja yang dibuat kumpulan ‘Datuk T’ yang dianggotai tiga individu berprofil tinggi.

Sinar Harian semalam melaporkan, teka teki mengenai identiti sebenar ‘Datuk T’ yang menayangkan rakaman video aksi seks didakwa melibatkan pemimpin kanan pembangkang kepada media Isnin lalu terjawab apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik mendedahkan siapa lelaki misteri tersebut.

Abdul Rahim berkata, Datuk T bukanlah seorang individu tetapi melibatkan gabungan tiga orang lelaki bergelar Datuk, iaitu beliau sendiri, ahli perniagaan, Datul Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Abdullah.

Dalam kejadian 21 Mac lalu, seorang individu yang menggelari dirinya Datuk T mendedahkan kepada media apa yang didakwa rakaman video salah laku seks pemimpin tertinggi PKR di hotel.

Rakaman berdurasi 21 minit itu menunjukkan individu terbabit mengadakan hubungan seks dengan pelacur asing, dirakam pada 21 Februari lalu.

Presiden PAS selar tindakan kumpulan ‘Datuk T’


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyelar tindakan kumpulan ‘Datuk T’ yang dilihat cuba mengaitkan pengamal media dengan isu video salah laku seks dengan menayangkan kepada pihak terbabit, empat hari lalu.

Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu dianggap cuba mempergunakan media untuk kepentingan sendiri.

Beliau mengakui turut dimaklumkan bahawa video terbabit digunakan sebagai ‘perangkap’.

“Pemberita diperangkap, dijemput hadir untuk sidang media, setelah itu disiar benda ini.

“Ini satu langkah yang tidak betul hendak mengaitkan media kita ke satu kancah pergolakan yang sangat buruk..ini satu ama-lan yang tidak baik,” katanya kepada media ketika ditemui selepas mengadakan solat jenazah di Masjid Al-Muktafibillah Shah, di Ladang, semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar, Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Setiu, Tengku Ahmad Tengku Hussain dan arkitek terkenal, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah.

Abdul Hadi berkata demikian sebagai mengulas mengenai rakaman video seks yang dikaitkan dengan pemimpin kanan pembangkang itu yang ditayangkan secara berkumpulan dan berperingkat kepada media pada sidang akhbar di ibu negara, 21 Mac lalu.

Sehubungan itu, Abdul Hadi berpendapat pengamal media terbabit wajar mengambil tindakan kerana menganggap ia bukan sahaja merosakkan institusi media, malah semua pihak.

Ditanya berhubung sama ada perkara itu akan memberi impak terhadap pilihan raya negeri Sarawak, beliau berkata ia terpulang kepada penilaian rakyat, selain peranan media tidak disekat.

“Sepatutnya media menjadi saksi yang betul. Dalam negara kita hari ini, media masih tidak demokratik kerana satu pihak sahaja yang masuk media, satu pihak lagi tidak,” katanya.