Apr 20, 2011

Minta Nasrudin pertahan jawatan





Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu mencadangkan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan mempertahankan jawatan yang disandangnya ketika ini dalam pemilihan Muktamar Pas ke-57, Jun ini.

Ketuanya, Mohd Nor Hamzah berkata, keputusan tersebut diambil kira berdasarkan cadangan dan pandangan di peringkat Pemuda Kawasan di seluruh negeri ini.

Menurutnya, cadangan tersebut cuba mengekalkan Nasrudin sebagai Ketua Pemuda, sekali gus membuka peluang kepadanya untuk meneruskan kepimpinan sedia ada pada penggal berikutnya.

“Beliau lebih sesuai meneruskan kepimpinan pemuda dan meneruskan gerak kerja terutama dalam merealisasikan agenda Pas Ganti UMNO,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Kata Mohd Nor, rasionalnya pemuda sedang bergerak untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kita mengekalkan yang sedia ada kerana kalau berlaku perubahan, kita lihat agak sukar untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat yang kini disandang Azman Shapawi Abdul Rani, be-liau berkata, pihaknya menyerahkan keputusan tersebut kepada perwakilan, begitu juga dengan jawatankuasa lain.

Mohd Nor bagaimanapun berharap mana-mana pihak yang dipilih untuk mengisi jawatan lain di peringkat jawatankuasa Pemuda Pas Pusat supaya bekerjasama dalam memastikan keutuhan gerakan Pemuda.

“Kita berharap gabu-ngan kepimpinan yang dilantik pada masa akan datang dapat meneruskan agenda penting untuk mendekatkan anak muda dengan semangat perjuangan Pas melalui ‘Orang Muda Geng Kita’,” katanya.