Jan 8, 2010

Kenyataan Ringkas Presiden PAS

”Serangan Terhadap Gereja pada hari Jumaat 8 Januari 2010”



Tindakan pihak tertentu yang memilih cara yang ganas dengan melakukan tindakan yang ditegah oleh Islam menerusi serangan terhadap Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja Assumption di Jalan Templer, Petaling Jaya adalah dikutuk dengan sekeras-kerasnya.


Perlulah diingat, bahawa Islam menerusi kefahaman dakwahnya adalah membawa konsep kebebasan beragama kepada orang yang belum menganut Islam. Begitu banyak ayat dari Al Quran dan Hadith Rasulullah SAW yang melarang penganut Islam dari mengganggu penganut agama lain, paderi dan rumah ibadat mereka. Bahkan, dalam setiap kali peperangan yang Nabi Muhammad SAW dan Khulafa Ar Raasyidin terlibat, para sahabat sangat berpegang teguh kepada pesanan Nabi Muhammad SAW untuk tidak membunuh paderi dan tidak merosakkan rumah ibadat mereka. Itu dalam suasana perang, apatah lagi dalam suasana aman seperti yang ada pada hari ini.


Tindakan yang bercanggah dengan Islam ini, hanyalah dilakukan oleh orang yang tidak faham terhadap agama mereka sendiri. PAS akan terus melaksanakan dakwah dan politik Islam dengan berdasarkan kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ahli-ahli dan penyokong PAS di seluruh negara, serta rakyat keseluruhannya perlulah senantiasa diingatkan agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif pihak-pihak tertentu.


Kepada kepimpinan PAS di seluruh negara, hal ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam program Penerangan PAS Pusat pada hari esok di Shah Alam.



Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS


22 Muharram 1431 H bersamaan 8 Januari 2010

Penggunaan Kalimah Allah


Penggunaan nama Allah oleh penganut agama bukan Islam menjadi polemik hangat dalam negara, menjadi lebih panas setelah mahkamah membuat keputusan keizinan kepada pihak gereja Katolik memakai perkataan Allah dalam penyebaran mereka kepada masyarakat umum, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, kerana menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan ALLAH sangat mulia di sisi umat Islam.

Apa yang menghairankan sebelum ini pengamal ajaran Kristian itu menyebut tuhan dengan bahasa mereka masing-masing. Adapun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan Allah dari kitab suci mereka (al-Quran) yang tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan Allah tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa al-Quran.

Adakah ia boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep kebebasan beragama? Sedangkan kebebasan secara saksama mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah yang mencetuskan perkara yang merosakan hubungan sesama manusia. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Perlu difahami adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain mengikut makna perkataan Allah yang tepat dengan maksudnya dari segi bahasa Arab yang terus di-gunakan oleh umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa dengan tetap berpegang kepada makna dan maksud perkataan Allah atau mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya sehingga menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini.

Perkataan Allah disebut oleh orang Arab atau pengguna bahasa Arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut Yahudi, Kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al-Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah:

(Maksudnya): Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintah-Nya)? [Al-Ankabut : 61]

Firman Allah:

(Maksudnya): Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). [Al-Ankabut : 63]

Firman Allah:

(Maksudnya): Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). [Luqman : 25]

Firman Allah:

(Maksudnya): Dan sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmat-Nya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri". [Az-Zumar : 38]

Firman Allah:

(Maksudnya): Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:" Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui". [Az-Zukhruf : 9]

Firman Allah:

(Maksudnya): Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakan-Nya)? [Az-Zukhruf : 87]

Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang yang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (adanya Tuhan Pencipta Alam) hanya sekadar itu, namun kepercayaan mereka tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat makjizat al-Quran, apabila mereka memaksa diri menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti GOD, LORD dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka tidak tepat dengan maksudnya. Kita tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah mengikut ajaran dan bahasa kita, walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut Kristian dengan kepercayaan Trinity (Tiga Tuhannya) dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (al-Asma al-Husna). Imam Al-Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al-Asma Wa Sifat):

“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu baginya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut bahasa Arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadanya. Perkataan ALLAH itu daripada perkataan AL-ILAH dengan menambah AL kepada perkataan asal ILAH yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila diletakkan Alif dan Lam (AL) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf maka, di sebut ALLAH. Penambahan Al dalam bahasa Arab bertujuan makrifah (yang dikenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu berbilang tuhan”.

Al-Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW tanpa melarang mereka menyebut, tetapi memberi penjelasan secara ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah:

(Maksudnya): Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". [Ali- Imran : 64]

Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran tauhid, (mengesakan Allah) tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (paderi-paderi) dan pemimpin-pemimpin (Arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah seperti menghalal apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada Rasul mereka sendiri atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan aqidah mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sekali-kali, kerana menyalah-gunakan perkataan Allah Yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam, seterusnya dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah Allah di hadapan umat Islam.

Imam ‘Ali KW menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun:

(Maksudnya): (Kalimahnya benar, tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah ALLAH adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam sangat menyentuh sensitiviti umat Islam, sehingga menggerakkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO) fahaman politik dan individu, bersatu mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah ALLAH boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk.

Al-Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah. Firman Allah:

(Maksudnya): Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. [Al-An'am : 108]

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.


(DATO’ SERI HAJI ABDUL HADI HAJI AWANG)
Presiden PAS

Penentangan yang tak terduga

artikel ini yang telah masuk dalam email dari budakkua@gmail.com

Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang ditangguhkan kelmarin dengan terang lagi bersuluhnya menyerlahkan realiti. Jangan cuba menafikan kerealitian ini kerana semuanya berlaku dalam dewan yang mulia itu, yang menjadi pentas rasmi, bukannya pentas untuk berpolitiking, menonjolkan hipokrasi atau pentas lakonan dan sandiwara semata.

Realitinya jelas. Bahawa majoriti ADUN BN masih tidak sukakan dan tidak pernah suka dan (rasanya) tidak akan suka kepada MB Mat Said. Tidak suka bukan atas kapasitinya secara individu yakni Mat Said itu, tetapi atas kapasitinya MB. Barangkali bagi mereka, itulah pentas paling sesuai untuk menterjemahkan ketidaksukaan mereka kepada MB Mat Said, setelah sebelumnya banyak pandangan menyatakan mereka sudah boleh duduk semeja dan menyokong kepimpinan MB Mat Said.

Bermakna, kenyataan MB Mat Said dan beberapa pemimpin UMNO bahawa kumpulan apa yang dinamakan geng Derih Jusoh @ penentang MB Mat Said (atau digelar oleh MB Mat Said and the geng sebagai kumpulan 10 budak hitam) sudah memberikan sokongan dan menyokong MB Mat Said, bahawa politik UMNO Terengganu sudah reda dan stabil, bahawa adanya ‘taubat nasuha’ daripada kalangan ADUN yang menentang MB Mat Said dan sudah menyokong penuh MB Mat Said, dan pelbagai andaian, telahan, ungkapan yang muluk-muluk dan melegakan kerongkong MB Mat Said and the geng - rupa-rupanya sama sekali tidak benar dan belit auta semata-mata.

Semua pandangan yang menyatakan sedemikian adalah untuk menyedapkan hati yang lara sahaja. Menjadi halwa telinga yang tidak pernah dirasakan manis madunya kehalwaan, apa lagi sebagai penawar ‘kemesraan’ yang sudah sekian lama menyelinap di sebalik tembok kepura-puraan.

Antara kenyataan yang berbau ‘untuk menyedapkan hati’ sebegitu, selain datangnya daripada MB Mat Said sendiri, pernah disuarakan oleh beberapa konconya termasuk Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu – Dato’ Ku Tera. Ku Tera dengan penuh yakin menyatakan (kepada beberapa teman yang sempat terserempak dengan beliau satu ketika sebelum Sidang DUN), bahawa hanya tinggal tiga orang sahaja lagi ADUN yang tidak menyokong MB Mat Said. Tiga ADUN itu ialah Dato’ Rosol Wahid (Ajil), Zawawi Ismail (Kuala Berang) dan Zakaria Abdullah (Paka). Zawawi pun menurut Ku Tera, hanyalah pak turut sahaja, bukan sebenar-benarnya penentangan dan ketidaksetujuan itu datangnya daripada dalam dirinya. Ngikut Dato’ Rosollah tu maksudnya….

MB Mat Said juga begitu, dengan yakin menyatakan bahawa ADUN-ADUN itu adalah kawan-kawan beliau belaka yang boleh bekerjasama. Beralasankan kehadiran dalam program kerajaan, MB Mat Said dengan segera mengandaikan bahawa ADUN yang menentang beliau sudah berpaling tadah dan memberi sokongan serta kerjasama penuh kepada beliau.

Semua itukan retorik yang diperindahkan. Hakikat atau realitinya bagaimana? Untuk menjelaskan realiti, senaraikan ADUN (termasuk Exco) yang betul-betul tunduk dan menyokong kuat beliau. Atau kalau takut menimbulkan malu aib kepada ADUN-ADUN berkenaan sekiranya dibuat sokongan secara terbuka dan berdepan, buatlah undian secara sulit. Cuma takut dan bimbang juga kalau ada undi sulit bagi mencari siapa yang suka dan tidak suka kepada MB Mat Said, kalau tersilap 'kerut', MB Mat Said sendiri akan mengundi tidak suka kepada dirinya sendiri, barangkalilah kot!!!

Kerana realitinya, penentangan (terbuka atau sulit) dan usaha untuk merudumkan MB Mat Said tidak pernah bernoktah dan tidak pernah terpadam dalam diari perjuangan beberapa ADUN ini, waima apa sekali tanggapan dan hasrat ketua-ketua mereka. Yang jelas dan menjadi batasan akhir kepada ADUN-ADUN berkenaan adalah kerana mereka masih lagi akur dan patuh serta tidak mahu dianggap penderhaka, walaupun sudah ada yang melabelkan mereka sedemikian.

Sebab itu, sebaik ‘penentangan yang tak terduga’ dibuat oleh beberapa ADUN dalam dewan dan belum pun dewan selesai bersidang, sudah muncul beberapa ekor lembu yang bertindak ala jagoan untuk menutup kemaluan besar tuannya kerana diperlakukan sebegitu rupa oleh ADUNnya sendiri sambil dalam masa yang sama cuba memburuk-burukkan ADUN-ADUN berkenaan.

Lembu-lembu berkenaan berhempas pulas menyesuaikan dengan mes yang dimakannya, cuba menyembunyikan kemaluan tuannya dengan pelbagai alasan yang tidak logik, pandak akal, menonjolkan kebodohsombongannya, menjelaskan realiti kebodohan melampaunya dan paling seronok, berjaya menonjolkan ketololan dan kedunguannya tentang politik Terengganu semasa. Sesuai dan amat cocok sekali dengan sifat kelembuannya.

Cuma yang jelas - dengan meletakkan sementara ke tepi insiden dalam dewan dua hari lalu - sambil kita mengambil yang agak positif terhadap andaian yang menyatakan hampir semua penentang itu sudah agak kendur penentangannya dan mula kembali berjinak-jinak dengan parti mereka, UMNO (walaupun antara mereka ada yang tidak berjawatan apa-apa dalam UMNO) - segalanya adalah kerana ‘kasih sayang’ mereka kepada UMNO kononnya.

Kerana mereka menghormati dan patuh kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu – DSHH, kerana mereka berhasrat mengukuhkan semula UMNO Terengganu yang dilihat telah rosak, hambar dan bercelaru semenjak selepas PRU ke-12 lalu, dan (ada sikit-sikit) kerana kalau-kalau mereka masih diintai untuk mengekalkan kerusi sebagai wakil rakyat pada PRU ke-13 nanti atau kerana (dalam bahasa yang agak lembut) sebahagian mereka masih menekup batu, lebih-lebih bagi mereka yang telah dianugerahi dengan berbagai-bagai bagai bagai 'anugerah' oleh MB Mat Said. Agaknya.

Itulah realitinya. Kekenduran mereka bukan kerana hebatnya MB Mat Said atau berjayanya Ku Tera, bukan kerana kejayaan MB Mat Said merapatkan hubungan dengan mereka. Bukan kerana.... bukan, bukan dan bukan. Semua orang tahu hal ini, termasuklah Presiden dan Timbalan Presiden parti, juga DSHH sendiri.

Alahai…. kesihan, tidak ada ke penasihat yang berani memaklumkan kepada MB Mat Said, bahawa insiden dalam dewan ini juga merupakan rentetan menjejaskan 'maruah dan moral' yang bukan boleh ditutup hanya dengan nyiru atau mes makanan lembu? Tolonglah, jangan biarkan MB kita tu dilabelkan banyak orang sebagai tidak tahu erti maruah dan moral.

Kesihan MB kita.

Jan 6, 2010

MB Marah Dewan bedah lambat siap....

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said kecewa dengan keadaan hampir kesemua dewan bedah di hospital di Terengganu yang tidak dapat beroperasi seperti dijadualkan.

Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja merugikan kerajaan daripada segi kos tetapi turut merisikokan nyawa pesakit.

"Hampir semua dewan bedah hospital di negeri ini gagal... dewan bedah Hospital Besut hampir enam tahun, Hospital Kemaman tiga empat tahun, dewan bedah Hospital Setiu dah masuk tujuh tahun... teruk, rakyat marah kerajaan.


Ingat semua projek tersebut dibina di Zaman Idris. Ahmad Said tempelak Idris lagi. Kena semak siapa kontraktor projek Kementerian Kesihatan ini. Siapa-siapa boleh beri maklumat dialu-alukan.

- Ada pula orang kata siap lambat tak apa asalkan tak runtuh-

Jan 4, 2010

Tahniah kepada Wan Nik Wan Yusof SUP MB.

Bekas anggota parlimen Bachok, Wan Nik Wan Yusof, 49, dilantik sebagai Setiausaha Politik (SUP) Menteri Besar yang baru berkuat kuasa hari ini menggantikan Anual Bakri Harun.

Sebelum ini beliau merupakan Pengarah Pusat Kajian Strategi Kelantan (PKS). Selain itu beliau juga Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Wan Nik berkelulusan Sarjana Muda Sastera dalam bidang Sosiologi dan Antropologi, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1984.

Beliau juga memiliki sarjana dalam bidang Sains Politik di UKM pada 2005. Sekarang sedang menyiapkan tesis PhD juga dalam bidang Sains Politik.

Anak kelahiran Kampung Bukit Tanah, Pasir Puteh itu merupakan bapa kepada lima anak dan kini menetap di Kampung Nipah, Bachok. Isterinya seorang pendidik.

Ketika ditemui di pejabatnya Wan Nik berkata, jawatan yang disandang sekarang bukan suatu kedudukan yang perlu dibanggakan, sebaliknya penuh dengan cabaran.

“Saya perlu merujuk kepada Setiausaha Politik yang pertama, kedua atau ketiga yang lebih berpengalaman bagi memudahkan saya melaksanakan tugas,” ujarnya.

Wan Nik menggantikan Anual Bakri Haron yang telah menjadi Setiausaha Politik Nik Aziz sejak 1999.

- Semoga Wan Nik beri kekuatan oleh Allah didalam melaksanakan amanah ini.


.

Jan 2, 2010

PAS KECEWA MAHKAMAH BENARKAN PERKATAAN ALLAH DALAM MINGGUAN HERALD THE CATHOLIC


Parti Islam Semalaysia (PAS) kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya.

Pas bimbang dengan membenarkan penggunaan nama Allah dalam penerbitan ini akan menimbulkan kekeliruan di kalangan orang Islam terutama di kalangan muallaf dan mereka yang hendak mendekatkan diri dengan Islam.

Penggunaan nama Allah telah dianggap sebagai serasi dengan masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini yang merujuk kepada penggunaan itu hanya untuk agama Islam sahaja. Perkara ini telah diakur sejak turun temurun oleh penganut agama Kristian di negara ini.
Penggunaan nama Allah dalam al-Quran, maksudnya “Dan jika kamu bertanya kepada mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi, nescaya mereka mengatakan Allah”. Allah yang mereka akur ialah sebagai tuhan “pencipta”, bukan sebagai Allah yang tunggal yang patut disembah. Ini dinamakan kepercayaan Rububiyyah, bukan kepercayaan Uluhiyyah.

Pas mengharapkan supaya pihak Kerajaan membuat rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi supaya ia mendatangkan kebaikan kepada kita bersama. Menghalang penggunaan nama Allah ini sebagai satu langkah “Saddu Zarai’c” untuk menutup pintu keburukan di kalangan masyarakat Islam khususnya dan masyarakat Malaysia amnya.

Perlu ditegaskan ini bukan berarti Pas menentang kebebasan agama lain untuk mengamalkan ajaran mereka sediri di negara ini. Selama ini Pas yang memerintah di Kelantan hampir 20 tahun memberi kebebasan kepada penganut agama yang manoriti mengamalkan agama mereka tanpa apa-apa gangguan daripada pihak berkuasa Pas di Kelantan.

Idris Haji Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Dr Rosli Diingatkan Tidak Bertindak Ikut Nafsu

Nasihat Dari Naib Presiden PAS

Bekas Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kadir dan isterinya, Ilyani Mohd Noor diingatkan supaya patuh kepada tuntutan agama dan tidak bertindak mengikut nafsu.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Dr Rosli sepatutnya mematuhi undang-undang serta insaf mengenai dosa dan pahala berhubung perbuatannya.

"Nasihat saya supaya Dr Rosli patuhi undang-undang, ini bukan soal main-main... soal halal dan haram.

"Jangan lupa kepada azab tuhan, situasi yang dihadapinya kini berkaitan dengan dosa dan pahala," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan Dr Rosli dan isterinya, melarikan diri dari rumahnya di Lorong Masjid Mustaqim, Telipot di sini pagi semalam selepas hampir 19 jam dikepung keluarga mentuanya.

Dalam kejadian tersebut, kedua-dua pasangan itu berjaya melarikan diri ke tempat yang tidak diketahui dengan menaiki sebuah kenderaan.

Pasangan itu yang diarah mahkamah supaya tinggal berasingan selepas kesahihan perkahwinan mereka diragui.

Dr Rosli dan Ilyani berkahwin di Masjid Lapangan Terbang Subang, Selangor pada 26 Disember 2008.

Bagaimanapun, berikutan timbul keraguan mengenai status perkahwinan mereka, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada 9 November lalu mengeluarkan perintah 'mufarakah' melarang pasangan berkenaan tinggal bersama sehingga kes itu diselesaikan.

Surat perintah tersebut turut memberi kebenaran kepada penguat kuasa agama jajahan dan Polis Diraja Malaysia untuk mengambil tindakan jika mendapati pasangan itu masih tinggal bersama.

Selain itu Tuan Ibrahim juga berkata, sebagai seorang muslim yang beriman, Dr Rosli perlu akur dengan undang-undang yang ada.

"Hidup ini ada undang-undang, patuh kepada undang-undang juga sebahagian daripada ciri-ciri orang beriman.

"Soal kesahihan perkahwinan ini sangat penting, buat masa ini mahkamah belum putuskan apa-apa lagi... hanya minta tinggal berasingan.

"Cuba bayangkan kalau diputuskan ia (perkahwinan) tak sah, lagi susah jadinya, berdosa hukumnya kerana mereka masih tinggal bersama," katanya.

Ditanya sama ada tindakan Dr Rosli itu akan menjejaskan imej PAS, Tuan Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti itu berkata: "Beliau telah meletakkan jawatan dalam parti... kini hanya ahli biasa.

"Lagipun perkara ini adalah isu peribadi dan tak libatkan PAS sebagai parti politik."

Inilah yang membezakan PAS dan Parti parti lain. Yang salah ditegur dan dinasihati.
Bukannya berdiam diri dan membiarkanya. Kes Ahli Parlimen Rompin dan pekerja hotel ? umno diam. Kes Pegawai Pejabat MB Terengganu Umno diam membisu.


.

Bila Anak Adun BN Balik Menangis

Kisahnya begini, seoarang Adun Terengganu dari BN, ye dari BN juga dari geng 10 telah mengemukakan soalan dalam sidang Dun baru-baru ini, soalan itu bermaksud, betul atau tidak kompleks sekolah IMTIAZ di Besut yang sedang dalam pembinaan itu akan diserahkan kepada pehak lain selepas siap kelak.

Lalu menjawab lah si Exco yang berkaitan ( exco Pelajaran) yang juga merupakan Adun Seberang Takir, Kuala Nerus.

Exco memaklumkan bahawa Kerajaan Terengganu tidak bercadang untuk membuat demikian, IMTIAZ dikekalkan dengan pengurusan asal.

Lalu adun BN dari Tepuh , Kuala Nerus terus mencelah dan menambah soalanya dengan mengambil bahawa perkara itu telah dimaklumkan oleh anak beliau yang berlajar Di IMTIAZ Besut balik kerumah dengan menangis teresak-esak kerana Bangunan ImTIAZ Besut apabila siap kelak akan diserah kepada pehak lain.

Hujah kukuh - anak yang balik menangis.

Kemudian exco tersebut meneruskan jawapan kepada Adun tersebut secara sinis dengan meminta Adun Tepoh membuat panggilan telefon kerumahnya bagi memaklumkan kepada anak beliau supaya berhenti menangis kerana maklumat penyerahan bangunan IMTIAZ kepada pehak lain adalah tidak betul.

- Dewan Undangan Terengganu dihidang dengan Lawal Kartun oleh ADUN Tepoh, Mohd Ramli Noh.

Jan 1, 2010

Mari Bincang Bab Allah Masuk Gereja

Oleh kerana terlalu ramai penjenguk yang minat bab dan tajuk ini tapi tak pasal-pasal dok pergi komen kat topik harga gula naik.
Orang bincang tajuk Gula , dia orang bincang bab diatas. Bukan salah cuma tak kena tempat je.

Macam orang berak merata-rata lah. Tak elok nama nya.

Kalau semua berminat sila bincang tajuk tersebut di sini
Bincanglah sepuas-puasnya disitu. Tempat dah disediakan ni, kalau berak merata-rata juga, tak tau nak katalah.

Jambatan Baru - untuk rakyat atau untuk kocek

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Yahya Khatib Mohamad berkata, dua jambatan itu yang akan diberi keutamaan ialah jambatan menghubungkan Kampung Teluk Pasu-Pulau Sekati-Muzium di Losong yang merentasi Sungai Terengganu. Ini lah rupanya rahmat seperti yang dikatakan oleh EXCO Pengkalan Berangan yang berkelulusan Pengajian Islam. Pernah menjadi Pengurus TNB Pantai Timur yang bergaji hampir rm25,000.00 sebulan. Zaman mantan MB AL Idrisi beliau telah terpilih menjadi calon dan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan, menang di Pengkalan Berangan tapi hampir mati berangan nak menjadi Exco tetapi tidak dilantik oleh Al Idrisi seperti janji-janji manis mantan mb tongkat langit.

Kawasan kritikal yang mengalami kesesakan sewaktu musim perayaan, waktu puncak dan juga masa hari kelepasan am adalah diantara simpang 4 menuju ke jambatan Sultan Mahmud, bukannya membina jambatan yang jauh dari kawasan kritikal ini. Apakah rasional membina jambatan dari muzium losong ke Kampung Teluk Pasu merentasi Pulau Sekati. apakah tiada kajian dilakukan dalam pembinaan ini atau hanya untuk mendapatkan komisen bukan untuk rakyat. Bina jambatan hanya mendapat duit masuk dalam kantung bukan untuk mengurangkan kesesakan trafik semasa waktu puncak.


Apakah Exco cap ayam ini (pinjam kata mantan Mb Al idrisi) tidak pernah melalui jalan di kampung Teluk Pasu yang sempit, berlubang-lubang dan jalan ini akan menuju terus ke Pekan Batu Enam yang telah sediada sesak dengan kenderaan. Jikalau sewaktu hariraya Jalan Ke Pekan Batu Enam akan jam dan trafic tidak bergerak-gerak dalam masa sejam dua bahkan kadangkala berlarutan ke hampir 4 hingga 5 jam baru dapat melepasi kesesakan ini. dengan keadaan jalan Kampung Teluk Pasu adalah selorong akan menyebabkan kesesakan akan bertambah teruk kerana aliran trafic tidak akan lancar sekiranya jalan di Kampung Teluk Pasu tidak dibaiki terlebih dahulu. Jadikan jalan di Kampung Teluk Pasu kepada dua lorang dan dipanjangkan terus ke Pekan Batu Enam. Keadaan "Bottom Neck" adalah berlaku di Pekan Batu Enam. Aliran trafic di sini perlu diperbetulkan dahulu samada membuat jalanraya baru yang mengandungi 2 lorong pegi dan balik, jika masalah aliran trafic disini dapat diselesaikan dahulu barulah aliran trafic dapat berjalan dengan lancar.

Jambatan yang menghubungkan dari Jeram ke Jeram Tokong telah lama di rasmikan lagi zaman Mb Tongkat Langit lagi tetapi zaman Mb Lone Ranger ini projek itu dihentikan, Mantan Mb lama telah mengadakan majlis pecah tanah sewaktu PRU12 akan berlangsung. Sama dengan projek menjadikan Pasar Baru Manir yang juga mana Alidrisi juga merasmikan perasmian pecah Tanah tanda bermula projek pembinaan Pasar Baru Manir. Keadaan Jalanraya dari Jeram ke Buluh Gading juga mengalami kesesakan, bagaimana untuk sampai ke Jeram Tongkong dengan cepat jika di kawasan ini telah mengalami kesesakan yang amat teruk, Jalan selorong dengan keadaan berlubang dan jika berada di waktu puncak musim perayaan atau juga musim cuti sekolah kenderaan akan bertambah berlipat kali ganda dari hari biasa yang telah sediada sesak.
Dimanakah rasional pembinaan Jambatan ini yang bernilai 400juta. Yang mengalami kesesakan teruk adalah dikawasan Jambatan Sultan Mahmud tetapi jambatan yang dibina tidak akan mengurangkan kesesakan waktu puncak dan juga semasa musim perayaan. Jika pemandu nak balik ke Kelantan, Setiu atau Besut tidak ada pemandu yang bangang akan melalui jambatan yang baru menghubungkan Muzium Losong ke Teluk Pasu dan juga dari jeram ke Jeram Tokong kerana faktor jauh dan juga jalan yang tidak diselenggarakan dengan baik, berlubang-lubang dan banyak selekoh merbahaya.


Bagi pengguna jambatan Sultan Mahmud, jalan terbaik untuk mengurangkan kesesakan trafic sewaktu waktu puncak dan juga semasa musim perayaan adalah pembinaan jambatan di muara sungai Terengganu. Yang mana jambatan ini bermula di kawasan kampung ladang atau bermula di kawasan Syahbandar dan merentangi muara sungai Terengganu menuju ke Kampung Seberang Takir. Aliran trafic akan menjadi lancar jika 50% pengguna jambatan Sultan Mahmud beralih menggunakan jambatan baru ini, jambatan ini akan memendekan masa untuk pergi ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Ke Lembah Bidong dan juga ke Kompleks Sukan Negeri. Dan Jambatan ini boleh direkabentuk menjadi satu mercu tanda untuk Negeri Terengganu. Inilah rahmat yang dinantikan oleh pengguna jalanraya iaitu pengurangan kesesakan bukannya membina jambatan yang jauh dari aliran trafic yang mendesak.


Semoga jambatan baru yang akan dibina walaupun tidak menepati kehendak rakyat pengguna jalanraya tidak runtuh seperti projek projek yang tidak pernah sebelum ini. Jika runtuh Exco Cap AYAM akan berkata runtuh ini satu rahmat kepada rakyat Negeri Terengganu. Dimana Perancang Bandar Majlis Bandaraya Negeri Terengganu, diam membisu seribu bahasa, telah diberi ubat perancang ke? Malangnya Negeri Terengganu mendapat Exco , penasihat dan perancang bandar yang tidak pandai merancang.

Sumber asal : Kayukelat.blogspot