Sumber : Sinar Harian, 8 Ogos 2009
Dengan penahanan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka tafsiran yang paling tepat mengenai politik Terengganu sekarang ialah kian kalut dan seolah-olahnya tidak dapat dibendung lagi. Dari satu segi, kekalutan ini agak luar jangkaan kerana dalam Pilihan Raya Umum 2008, negeri ini masih kekal di tangan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti dua pertiga. Sedangkan beberapa negeri lain, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor jatuh ke tangan pembangkang, manakala Kelantan pula kekal seadanya. Dari satu segi yang lain, kekalutan ini memang tidak memeranjatkan kerana Terengganu mempunyai seorang Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, yang banyak mencetuskan persoalan berbanding dengan penyelesaian.
Seperti yang diketahui umum, Ahmad Said dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh atas perkenan istana. Tanpa mempersoalkan kewajaran dan kerasionalan istana memperkenankan lantikan itu, yang jelas Ahmad Said tidak mendapat sokongan kebanyakan ADUN dalam BN, malahan juga tidak memperoleh sokongan rakyat di negeri itu. Sejak awal pelantikan sebagai Menteri Besar, personaliti beliau sering menjadi bahan persendaan orang Terengganu yang kuat dengan semangat kedaerahan.
Ketika jawatan Menteri Besar Terengganu masih panas selepas pilihan raya umum yang lalu, sebuah akhbar bahasa Inggeris pernah menyebut Ahmad Said mempunyai psikologi yang tidak stabil kerana beliau pernah mencabar ADUN Pas bergaduh di luar Dewan Undangan Negeri itu. Selain itu, akhbar berkenaan mendedahkan bahawa Ahmad Said lemah penguasaan bahasa Inggerisnya, walaupun diakui ini bukannya kriteria penting untuk menerajui sebuah negeri di Pantai Timur. Baru-baru ini, akhbar itu memaparkan Ahmad Said kerana gaut, terpaksa dipapah ketika menghadiri majlis di Istana Maziah.
Satu demi satu malang menimpa negeri yang mempunyai sumber minyak: gagal mempertahankan Parlimen Kuala Terengganu, keruntuhan bumbung stadium, penangkapan seorang ahli UMNO kerana menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur ugutan, dan penyiasatan SPRM terhadap beberapa orang penting dalam UMNO. Semua ini mencerminkan kecelaruan negeri yang dipimpin oleh Datuk Ahmad Said yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Oleh sebab Ahmad Said tidak mendapat sokongan padu daripada ADUN dalam BN, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Luar Negeri ketika itu pernah menyebut bahawa Menteri Besar akan “jatuh berdebuk macam nangka.” Namun, lebih setahun berlalu, “nangka yang kelihatan kurang ranum itu masih tergantung di pokok.”
Masa depan
Apabila beberapa ADUN dalam BN melakukan “pemberontakan” terhadap Ahmad Said, dan akibatnya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO tidak melantik Ahmad sebagai Ketua Perhubungan UMNO Negeri, banyak menjangkakan bahawa perjalananan politik beliau sudah sampai penghujung. Pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Naib Presiden UMNO dan juga Menteri Dalam Negeri sebagai Ketua Perhubungan UMNO Negeri Terengganu menandakan Ahmad Said tidak memperoleh cap Najib. Lebih janggal lagi, beliau satu-satu Menteri Besar atau Ketua Menteri daripada UMNO yang tidak dilantik sebagai Ketua Perhubungan.
Ahmad Said terus bertahan sebagai Menteri Besar, meskipun dari banyak segi, kepimpinan dan prestasinya terus dipersoalkan. Dengan tiadanya kata muktamad daripada Najib seolah-olahnya pucuk pimpinan UMNO-BN ini rela membiarkan dirinya memikul beban yang berpanjangan, walaupun ini mengorbankan kebajikan rakyat dan menghancurkan masa depan partinya di negeri itu.
Sebagai Menteri Besar, Ahmad Said gagal dalam ujian yang penting, iaitu pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada awal tahun ini apabila BN gagal mempertahankan kerusi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Razali Ismail. Meskipun BN belum mengumumkan calonnya, cakap-cakap tersebar bahawa para pengundi akan beralih kepada Pas. Alasannya, mereka ingin mengajar Ahmad Said yang memang tidak layak sebagai Menteri Besar Terengganu. (Sebenarnya, bahasa yang mereka gunakan terhadap Ahmad Said bunyinya agak keras.)
Semasa kempen pilihan raya kecil itu semakin rancak, seorang ahli UMNO Terengganu pernah menyatakan kebimbangannya bahawa faktor Menteri Besar dan bukannya faktor calon, Datuk Wan Farid Wan Mohd Salleh yang memungkinkan BN gagal mempertahankan kerusi Parlimen ini.
“Mu tahu,” kata ahli UMNO itu, “orang ramai marah kerana MB cakap membur (cakap tidak berasas, cakap ikut sedap mulut). Cakap tak macam MB. Mu tengok, poster MB kurang, orang benci.”
Dalam nada yang kian marah, dia menambah, “Tidak seperti Datuk Seri Idris Jusoh yang sentiasa jadi penggerak, Mat Said (Datuk Ahmad Said) tidak boleh buat apa satu, slow. Pegawai kerajaan negeri tidak sokong. Macam mana nak menang?” Tengah-tengah orang sibuk nak pilihan raya, dia tukar, pecat pegawai kerajaan; nak tutup anak syarikat kerajaan negeri. Langsung tak fikir!”
Pemerhati politikKemarahan ahli UMNO itu melarat kepada pembelian kereta Mercedes. “Mu fikir, teruk tak teruk Mat Said, negeri lain bawah BN pakai Perdana, dia beli Mercedes. Macam tak faham dasar kerajaan BN. Bila orang tanya, dia jawab lebih kurang – dah beli nak buat macam mana, kena pakailah. Kita dengar naik malu.”
Seorang ahli jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang turut bertugas untuk BN dalam pilihan raya kecil itu memberitahu: “Zaman Datuk Deris (Datuk Seri Idris Jusoh), beliau selalu berhubung dan mengadakan mesyuarat dengan JKKK. Paling tidak beliau sms untuk tanya khabar dan berita. Zaman Mat Said (Datuk Ahmad Said), kita JKKK tak tahu apa satu.”
Selaku ketua perhubungan UMNO negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin mengambil langkah bijak dengan mengetepikan beberapa individu yang dilantik oleh Datuk Ahmad Said untuk memegang jawatan dalam UMNO. Pada pandangan umum, mereka dilantik oleh Ahmad Said lebih bersifat “membalas budi” dan bukannya berdasarkan prestasi atau “boleh buat kerja.” Misalnya, pelantikan Zubir Embong yang kerjaya politiknya berkubur sejak tahun 1990, sebagai Ketua Penerangan UMNO Negeri dilihat oleh banyak pihak tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada parti.
Malangnya, tindakan berani beliau itu hanya setakat itu. Rakyat Terengganu khususnya dan pemerhati politik di negara ini amnya, masih tertunggu-tunggu tindakan berani Najib dan Hishammuddin berhubung dengan kepimpinan negeri itu. Hingga kini, kedua-duanya belum menampakkan keberanian untuk membuat keputusan.
Akibatnya, seperti yang dilaporkan baru-baru ini, sebilangan ADUN yang anti-Ahmad Said mula hilang kesabaran mereka dan seakan-akan memberikan kata dua – ingin berpaling tadah. Namun, Najib dilaporkan meminta mereka bersabar kerana beliau baru sahaja mengambil alih pucuk pimpinan negara.
“Sudah berbulan-bulan berlalu, macam mana Najib tidak beri kata putus tentang MB Terengganu,” ulas seorang anak Terengganu yang bekerja di Lembah Klang. Sama ada nak kekalkan MB sekarang, yang penting mesti ada keputusan. Bukan terus tergantung.” Tambah dia lagi, “Macam ambil alih syarikat, Najib mesti patut sudah ada perancangan, siapa yang akan dilantik sebagai CEO (ketua pegawai eksekutif), siapa nak jaga kewangan, pengurusan.”
Untuk kekal sebagai Menteri Besar, Ahmad Said boleh berlindung di sebalik istana. Tetapi, berapa lama? Lambat-laun Pilihan Raya Umum ke-13 akan diadakan. Mampukah UMNO-BN bertahan di negeri itu?
Apakah sejarah tahun 1999 berulang lagi akibat keengganan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad berundur, satu negeri jatuh ke tangan Pas. Mungkin musuh-musuh politiknya gagal menjatuhkan beliau, tetapi rakyat mampu melakukannya. Buktinya, pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang lalu – rakyat memberikan mesej yang jelas.