May 11, 2011

Peserta terkilan, ditindas


SUNGAI COMO - Terkilan dan tertindas! Namun itulah nasib dialami beberapa peserta projek perikanan di sini, yang kini menagih janji ditabur sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri sejak setahun lalu berikutan penantian mereka mendapatkan jumlah pukat sebenar sebagaimana perjanjian masih tinggal harapan.

Difahamkan, setiap peserta menerima satu blok mengandungi 200 sangkar namun malangnya mereka hanya sekadar mendapat pukat bagi 50 sangkar sahaja dan kini biarpun sudah setahun berlalu, peserta umpama menunggu buah yang tidak gugur.

Malah, mereka mendakwa pukat dibekalkan itu tidak mengikut spesifikasi sepatutnya dan hanya dapat digunakan dalam tempoh singkat sebelum reput dan koyak lalu mengakibatkan anak benih ikan terlepas ke tasik.

Lebih mengecewakan, gara-gara senario itu ada dalam kalangan peserta telah ‘bungkus’ kerana hasil diperoleh melalui 50 sangkar ikan sahaja tidak dapat menampung kos perbelanjaan.



Ikan banyak terlepas ke tasik



Peserta merangkap Pengurus Projek daripada Nuinfra Mutiara Feedmili Sdn Bhd, Ahmad Ikhwan Muftahuddin berkata, beliau benar-benar terkilan dan berasa dipermainkan dengan senario yang terjadi kini sedangkan peserta begitu serius dan komited bagi melaksanakan kerja ternakan ikan di situ.

“Kami memulakan projek di sini sekitar April tahun lalu. Berdasarkan perjanjian, peserta mendapat satu blok mengandungi 200 sangkar tetapi sehingga kini hanya 50 sangkar sahaja dapat digunakan kerana kami hanya menerima 50 pukat.

“Perkara ini telah dibawa kepada pihak bertanggungjawab namun masih tiada jawapan. Sepatutnya setiap sangkar mengandungi kira-kira 1,000 ikan sahaja tetapi jumlahnya kini jauh lebih banyak,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, mereka melepaskan 400,000 anak benih ikan namun amat menyedihkan apabila lebih 40 peratus daripadanya terlepas ke tasik gara-gara pukat koyak.

“Mahu atau tidak kami terpaksa menjahit sendiri pukat tersebut serta melakukan pemantauan bagi mencari ‘lubang’ biarpun menyedari jahitan ini tidak tahan lama.

“Ikan pula makin membesar dan pastinya kami tidak mampu terus menanggung kerugian sekiranya ikan sedia ada terlepas ke tasik gara-gara pukat koyak. Walaupun berhasrat membeli sendiri pukat tersebut namun kosnya terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Katanya, Jabatan Perikanan telah dimaklumkan mengenai masalah yang mereka hadapi namun pihak berkenaan tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan ia telah diserahkan kepada anak syarikat Kerajaan Negeri.

“Saya benar-benar menaruh harapan agar pihak berkenaan dapat membuka mata serta membuat kerja secara lebih telus dan adil untuk sama-sama memajukan ekonomi khususnya usahawan Melayu dan Bumiputera,” katanya.



Nilai tahap kemampuan peserta



Projek kerajaan yang diusahakan rakyat bertujuan bagi membantu serta melihat pengusaha berkenaan ‘hidup’ dan kerana kejayaan satu kebanggaan bagi pihak kerajaan.

Pengerusi Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC), Razali Idris berkata, matlamat sedemikian jugalah menjadi pegangan projek di bawah pengurusan TADC termasuklah projek perikanan di Sungai Como, Tasik Kenyir.

“Setiap pengusaha di Sungai Como menerima satu blok yang mengandungi 200 sangkar termasuk dengan pukat dan kini kita mempunyai empat pengusaha selain empat blok dikendalikan sendiri pihak TADC.

“Penilaian semula juga akan dilaksanakan bagi menilai tahap kemampuan pengusaha terlibat bagi melihat sama ada mereka mampu mengusahakan 200 sangkar tersebut atau sebaliknya.

“Sekiranya tidak berupaya mengusahakan skim 200 sangkar itu kita akan tukarkannya kepada skim 50 sangkar dan menambahkannya sekiranya pengusaha terlibat menunjukkan kemampuan positif,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam bagi mengulas mengenai dakwaan mengatakan peserta projek ternakan ikan itu tertindas.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak ada masalah yang timbul :berkai�tan projek tersebut dan hal berkenaan dapat diselesaikan melalui perbincangan.

Beliau juga berharap pengusaha dapat bersabar sedikit masa lagi kerana TADC masih menunggu gantian pukat daripada pembekal.

1 comment:

Melikapakjangak2 said...

Ustazah!
Alamat baru blog saya: http://www.melikapakjangak2. blogspot.com